Monday, July 26, 2010

Bila alam berbicara

Bismillah,


"Kak Mimi, cantiknya pemandangan dari rumah akak"

Memang cantik. Setiap kali bangun untuk solat subuh, dapat melihat garisan fajar yang menyinsing. Bila Maghrib menjelang, adalah saat aku berbicara dengan alam melihat langit merah dan matahari pun sembunyi diri.

Indah.

SubhanaAllah!



Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha suci Engkau lindungilah kami dari azab neraka.(Al Imran:191)
 Maka, nikmat apa lagi yang Engkau mahu dustakan?

Tuesday, July 20, 2010

Eureka!

Ini ada satu cerita. Cerita duniawi. Cerita mesin basuh. Sejak berpindah ke rumah baru, mereka menghadapi masalah membasuh baju kerana ketiadaan mesin basuh. Yang seorang rajin membasuh tangan. Seorang lain malas basuh tangan lantas menggunakan fasiliti di rumah kawan sebagai alternatif. Akhirnya,kerana tidak larat mendapat jawapan yang mengecewakan setiap kali bertanyakan mesin basuh secondhand yg hendak dijual di website, mereka berdua bersepakat membeli mesin basuh baru.

Isnin, mesin basuh baru sampai. Yang seorang itu, pun memasangnya. Esoknya, dia telefon yang seorang lagi.

"Mesin basuh tu membasuh tak henti-henti. Tak drain air pun". Dia mengadu kepada seorang lagi.

Kawan seorang lagi tu pulang ke rumah dengan niat untuk membantu. Malangnya, dia pun tak dapat nak membantu. Lantas dipanggil pula jiran di tingkat bawah. Malangnya jiran pun tidak dapat membantu.Cuba pasang hose seperti yang disarankan.Tak juga menjadi. Seminggu selepas itu, yang seorang lagi, bila duduk sorang2 di rumah cuba untuk menggodek-godek apa yang pattt sehingga banjir rumah dibuatnya. Akhirnya dia surrender..



Terpaksa telefon 'customer service'.

"Awak dah check dihujung hose yang di connect kepada sink drainer tu? Adakah ada udara yang melaluinya?"

Yang seorang lagi pun memeriksa. Menanggalkan hose dari sink drainer. Eureka! Eh silap. Allahuakbar! Ya, memang tertutup.Patutla tak boleh drain air. Air tak boleh lalu pun. Dipotong bahagian yang tertutup itu.

Akhirnya, mesin basuh dapat berfungsi. Alhamdulillah...

Itu cerita mesin basuh. Bagaimana pula cerita kerosakan iman dalam diri. Kerosakannya juga menyebabkan diri tidak dapat berfungsi sebagai hamba dan khalifah dengan baik. Punca kerosakan, perlulah dicari. Samaada hati tidak bersih, pandangan tidak di jaga, solat tidak khusyuk dan banyak lagi. Kenal pasti punca masalah. Dapatkan bantuan jika tidak dapat membaikinya bersendirian.

Banyak juga orang mahu berubah. Dan ramai juga tidak tahu bagaimana hendak berubah.  Di mana perlu dimulakan? Tidak tahu. Jika terlalu buntu, carilah teman yang dirasai dapat membantu.Sebagaimana personel di customer service itu mengetahui punca, kemungkinan juga orang yang kita minta bantuan daripadanya dapat membantu kita. Yang penting jangan putus asa. Walaupun dapur dia sudah kebanjiran tapi usaha tetap diteruskan untuk membaiki kerosakan yang ada. Teruslah berusaha membaiki keimanan dalam diri.

Kenal diri sendiri. Kenal kelemahan diri. Kenal di mana yang membuatkan hati itu dibutakan. Jika sudah ternampak hidayah Allah, pergi kejar. Jangan tunggu cahaya sampai. Kerana mungkin cahaya itu akan kembali dilitupi langsir hitam yang tidak dapat ditembusinya. Akhirnya, jadi gelap.Diri terkapai-kapai...

Dunia penuh cerita. Juga Iman ada turun dan naiknya. Ambil iktibar atas segala yang berlaku....

Wednesday, July 14, 2010

Rezeki

Hari yang penat. Dia mengeluh. Dia menyeluk poket baju sebelah kanan, sejambak kunci dikeluarkan. Diseluk pula poket sebelah kiri. Alhamdulillah, £5 dalam genggaman tangan. Duit terakhir yang ada padanya. Tengahari tadi, duit di banknya sudah 'selamat' dipotong untuk pembelian mesin basuh. Tak terlarat membasuh tangan. 

Dengan berbaki £10 yang ada dia keluarkan buat belanja sehari  dua. Kini hanya tinggal £5. Hujung bulan masa jauh untuk sampai. Moga Allah murahkan rezeki. Itu doanya. Tidak ada tempat lagi untuk bergantung harap. Allah pemberi rezeki. Kenapa perlu minta pada yang lain?

Kakinya melangkah ke kedai daging halal.

"Bagi saya satu pasang 'chicken leg' ya"

Pakcik pemotong daging menimbang dan memotong chicken leg ke bahagian yang kecil. Selesai sahaja dibegkan, pakcik hulurkan ayam bersama bil untuk pembayaran. £1.02.

"Owh! boleh beli sayur. Duit masih ada baki lagi". Hatinya gembira melihat bil itu.Selesai membayar harga ayam di kaunter, dia melangkah pula ke Garden Fresh, kedai sayur dan buah.

"Nak beli apa yer dengan wang berbaki £3.98 ni?" tanya pada diri sendiri.

Dicapainya sebijik bawang besar, 5 biji tomato cherry, segenggam kacang panjang, dan segenggam cili. Cukup. Dalam kepala sudah terbayang semua sayur ini akan dimasukkan ke dalam kuali dan digoreng dengan udang kering. Mesti sedap!

Dia melangkah ke bahagian buah-buahan. Sedapnya bau manis buah plum. Sedapnya buah pisang kaki. Tapi bila melihat duit di tangan.Hasrat untuk membeli buah dibatalkan. Nanti kalau tak cukup, naya jer!

Dia ke kaunter untuk membayar harga sayur-sayuran yang dibeli. Pakcik di kaunter menimbang. Cili berharga 1p. Hola! Yang lain-lain bila ditambahkan berjumlah 86p. Aha! murahnya!

Oleh itu perbelanjaan hari ini adalah : £1.88

Dia pulang ke rumah Cik Zee bersama ayam dan sayur-sayuran dengan gembira. Hidangan untuk hari ini , ayam goreng kunyit dan kacang panjang+tomato goreng udang kering berharga £1.88 untuk dua orang makan. Sungguh menjimatkan!

£5-£1.88 = £3.12

Masih ada baki untuk hari esoknya! Rezekinya masih ada.

Tit..Tit... Bunyi sms masuk.

"Boleh bagi no akaun. Nak bayar balik hutang..."

Alhamdulillah..dari £3.12 kini sudah bertambah...cukup untuk sampai hujung bulan. :)

Esoknya, telefon berbunyi.

"Akak dah kira jumlah buku dan xx tu. Semuanya £XX.Bagi no akaun. Akak nak bayar balik.

Alhamdulillah. Makin bertambah! Memang cukup sampai hujung bulan.

Bukankah jika kita hanya mengharapkan pada Allah, Allah akan mencukupkan keperluan kita? Bukankah kalau kita bersyukur, Allah akan tambah lagi rezeki dariNya?

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan [2:245]

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan) [11:6]

Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya dan mereka (yang ingkar) [13:26]

Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya [17:30]

Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa [20:132]
 Benarlah kata-kata Allah...

p/s: Jangan cepat mengeluh bila berada dalam kesempitan. Yakinlah dengan pertolongan Allah.

Tuesday, July 13, 2010

Temukan aku dengan RamadhanMu

Bismillah,

Pagi ini datang satu perasaan yang tak dapat diungkapkan. Dalam sujud terakhir solat Subuhku, datang perasaan seperti Allah mahu menjemput diri. Perasaan kematian yang sangat hampir. Takut terus menyelubungi diri. Sujud ku lamakan. Memohon keampunan kepada Allah. Pelik. Rasa takut itu tak mampu membuat air mata mengalir. Pelik. Itu seperti bukan aku. Yang mudah menangis, tak kira dalam apa jua keadaan.

Di tahyat akhir, bulu romaku rasa meremang. Terasa seperti didatangi seseorang. Terasa diperhatikan. Adakah Izrail datang menjemputku? Seusai salam kedua, aku terus sujud kembali memohon keampunan Allah. Rakaman dosa-dosa lalu seperti dimainkan dalam kotak fikiran. Makin panjang doa kupanjatkan. Takut mati. Takut dosa tak terampun.Ya Allah, apakah perasaan ini?

Adakah kau pernah merasakan apa yang ku rasa ini?

Apapun, aku bersyukur Allah datang perasaan itu. Perasaan takut mati. Takut hidup bersendirian di dalam kubur. Takut dengan siksaan Allah. Tak terjangkau dek akal ini untuk membayangkan azab yang bakal menimpa. Takut...takut. Ku harap aku bukan sekadar takut, tetapi takut itu membuatkan diri untuk menjadi lebih baik dari semalam. Ku harap kau begitu juga.

Hari ini masuk 1 Syaaban. Bulan peringatan yang Ramadhan semakin menghampiri. Maknanya tinggal sebulan lagi untuk masuk ke Madrasah Ramadhan. Yang hanya datang setahun sekali. Jika hayat hanya 60 tahun, maka 60 kali sahaja kita bertemunya. Ditolak zaman kanak-kanak dan masa2 jahiliyah diri, berapa tahun sahajakah yang Ramadhan itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Persiapan menghadapi Ramadhan bukan dibuat sehari dua sebelum kedatangannya. Patut dilakukan hari ini. Kita mahu Ramadhan yang kita lalui adalah yang terbaik untuk kita. Mulalah menambah amalan bermula hari ini juga. Supaya bila tiba ramadhan, kita tidak 'pancit' dan bila tiba Ramadhan, amalan kita berada di puncak.

Namun,adakah diri kita akan sampai ke Ramadhan tahun ini? Wallhua'lam. Hanya Tuhan yang tahu..

"Ya Allah, panjangkan umurku supaya aku dapat bertemu RamadhanMu"

Friday, July 09, 2010

Engkau yang cantik

Bismillah..

Hari ini air mata mengalir lagi. Menangisi perpisahan dengan sebahagian adik-adik Widad Munisah yang pulang ke Malaysia setelah berjaya tamat pengajian di sini. Walaupun ditahan-tahan, akhirnya kami semua  menumpahkan airmata. Mana mungkin boleh dilupakan kenangan bersama mereka. Kenangan main 'slide' atas snow di belakang hall, kenangan semasa usrah, kenangan berbasikal, dan banyak lagi. Ukhuwah di atas nama Allah ini terjalin dengan begitu kuat sekali biarpun aku hanya rapat dengan mereka dalam masa tidak sampai setahun.
Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.[8:63]
Aku hanya berharap, semoga mereka dapat meneruskan tarbiyah mereka di Malaysia. Alam pekerjaan yang bakal mereka tempuh, adalah alam yang penuh dengan cabaran. Aku dulu juga tewas dan hanyut dibuai kelalaian semasa zaman kerjaku. Mudah dipengaruhi, mudah terikut. Lagi-lagi, aku bekerja di bidang korporat. Penampilan diri adalah sesuatu yang dititikberatkan. 

Sebelum penampilan ku berubah, aku pernah ditegur oleh kakak-kakak kerani di pejabat. Aku ni eksekutif yang selekeh! Agak comot. Tapi akhirnya, mereka dan rakan pejabat ku lain berjaya mengubah diri ini. Dari tidak kenal make-up, hinggalah mata jadi seperti burung hantu, berat dengan make-up. Dari berbaju kurung, hinggalah ke suit lengkap dan bersepatu tinggi. Diriku berubah. Tapi aku sendiri tidak tahu berubah untuk apa. Mahu dilihat cantik? Mahu dilihat menarik? Jahilnya diri sebelum ini.Semoga Allah ampunkan dosa kejahilanku dahulu.

Bila difikir-fikir semula sekarang, betapa bodohnya diri ini. Mudah sungguh dipengaruhi. Betapa otak ini telah di'brainwash' dengan perkara yang tidak sepatutnya. Kecantikan itu bukan terletak pada pakaian yang menarik mahupun make-up di muka. Kecantikan yang diperlukan oleh seorang Muslimah adalah kecantikan akhlaknya dan keluhuran imannya.Kecantikan fizikal itu akan luntur ditelan waktu, dan kecantikan akhlak itu adalah sepajang hayat.


Betapa banyak wanita 'cantik' yang kutemui sekarang. Wajah-wajah suci yang tidak terpalit dengan sedikitpun pewarna di muka ku lihat sangat cantik kerana dihiasi dengan akhlak yang mulia. Cantik fizikal itu hampir terlenyap dalam kotak fikiranku. Mereka semua cantik. Akhawat semua cantik! Itulah kuasa keimanan yang sejati. Keimanan yang benar, yang tertanam dalam hati membuahkan akhlak yang mulia. Ingat lagi perbandingan Allah dalam Surah Ibrahim?
Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25)
 Jika keimanan itu adalah akar pohon yang kuat memasak di atas bumi, maka akhlak yang mulia itu adalah buah-buahan yang dihasilkan oleh pohon tersebut. Buah yang dihasilkan bukan sahaja baik, malah bermanfaat kepada orang lain. Inilah yang kita mahukan.

Tepuk dada tanya iman. Adakah keimanan kita sudah berakar kuat dalam diri? Adakah buah-buah yang bermanfaat sudah kita keluarkan?

"Ya Allah, indahkanlah akhlakku, seindah engkau menjadikan diriku ini"

Amin Ya Rabb!.

Thursday, July 08, 2010

Detik hidup

Jatuh cinta dengan lagu ni...



Detik-detik berlalu dalam hidup ini
Perlahan tapi pasti menuju mati

Kerap datang rasa takut menyusup di hati
Takut hidup ini terisi oleh sia-sia

Pada hening dan sepi aku bertanya
Dengan apa kuisi detikku ini

Tuhan kemana kami setelah ini?
Adakah Engkau dengar do’aku ini?


boleh download kat sini

Sunday, July 04, 2010

Segeralah bertaubat

Bismillah,

Kita manusia tidak pernah sunyi dari melakukan kesilapan. Tapi ingatlah bahawa keampuanan Allah itu Maha Luas. Setiap masa Allah mahukan makhluknya kembali kepadaNya. Dia Maha Pengampun. Kadang kita leka dan terus menerus bermaksiat. Hati terus dibiarkan dinodai dengan titik hitam. Kita terus menerus tidak keluar dari kawasan maksiat itu. Terus membiarkan diri hanyut. Sedangkan entah bila Allah akan memanggil kita semula. Maka dengan itu wahai sahabat, bersegeralah memohon keampuanan dari Allah.

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan styurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa" (Surah Al Imran :133)
"Aku rasa takmo buat dah la dosa ni. Nak bertaubat"

Bila hati dibisikkan dengan bisikan kebaikan, segeralah menunaikannya. Jika terus bertangguh sesungguhnya syaitan pula terus menyorakkan 'kata-kata semangatnya' supaya kita bertangguh berbuat kebaikan dan bertaubat kepada Allah. Piala kemenangan itu kita tidak mahu hadiahkan kepada syaitan. Dia musuh kita. Kenapa pula dia perlu menang? Kita perlu menang.Kita perlu menjadi orang yang bertakwa.

Orang yang bertakwa itu apabila melakukan perbuatan keji/maksiat atau menzalimi diri sendiri maka dia segera mengingati Allah, lalu memohon keampunan atas dosa-dosanya.

Tidakkah kamu mahu menjadi orang bertaqwa? Yang dijanjikan syurga yang indah?

Jika Ya, mengapa masih terus diulit maksiat?

Tidak percaya atau tidak berimankah kamu dengan hari akhirat?

Jika Ya, mengapa masih terus hanyut dalam dunia yang sementara ini?

Tidak takutkan kamu dengan azab neraka?

Nah, cuba letakkan jarimu di atas api dunia. Kepanasan yang sedikit itu pun tidak tertanggung inikan pula kepanasan yang berganda-ganda.

Mengapa dan mengapa terus bermaksiat? Mengapa dan mengapa sukar mentaatiNya?


Marilah kita kembali...Ya Rabb, kami memohon keampunanMu. Sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Ya Rabb..kami kembali kepadaMu.Tetapkanlah hati kami....

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP