Thursday, April 29, 2010

Berilah peringatan...

Bismillah,

Takut tak kalau sebut perkataan dakwah? Apa yang akan dibayangkan kalau sebut pendakwah? Ustaz?Ustazah?Yang pakai tudung labuh?Yang pakai kopiah/serban?

Seperti mana penyakit 'allergy' pada 'usrah' begitu juga pada dakwah. Ada orang yang sangat allergy dengan orang yang suka mengajak kepada kebaikan. Ayat balasan kepada golongan penyeru kebaikan pencegah kemungkaran ini biasanya..

"Kubur masing-masing, nak sibuk-sibuk kenapa?"

atau pun

"Kehidupan individu itu hak milik peribadi, jaga tepi kain sendiri dah la.."

Alahai, sedihnya dengar!

Semalam, ada kawan minta pendapat bagaimana caranya nak menyelesaikan masalah pelajar-pelajar yang nakal, degil, dan bermasalah di sekolahnya. Yang paling sedih bila diberitahu bahawa pelajar-pelajar ini rata-rata mempunyai masalah keluarga yang bapa tak solat, kaki botol, kaki judi dan sebagainya. Dan mereka ini adalah MUSLIM dan tinggal di kampung-kampung.

Sedih tak?

Sebagai tambahan, ustaz-ustaz PAFA(or Kafa?) kat sekolah tu pun tak buat apa. Hurm..sedih...

Sungguh mencabar!

Maksiat di mana-mana, jahiliyah di mana-mana. Fuh!!!

Dalam siri Halaqah di TV9 yang lalu, Ustaz ada sebut yang maksiat berlaku kerana :

1) Kesihatan yang baik ( Kalau sakit macam mana nak bermaksiat kan?)
2) Masa lapang yang tak terisi dengan perkara yang berfaedah (Sangat betulll!)
3) Pengaruh media massa yang buruk
4) Tiada yang hendak berbuat amar makruf nahi mungkar

Tak perlu tunggu jadi ustaz/ustazah, amar maaruf nahi mungkar itu perkara yang wajib dilakukan. Lagi-lagi dengan keadaan dunia sekarang yang maksiat itu menyesakkan dada kita. Menyeru manusia kepada Allah itu tanggungjawab setiap individu...

 Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)! (Al Muddaththir, 1-7)
Mereka yang memberi peringatan, ingatlah..kita juga perlu membersihkan jiwa, akhlak dan amalan kita juga. Dakwah kita dakwah penyelamat. Menyelamatkan diri kita dan menyelematkan orang lain... Jika kita tidak memberi peringatan, bagaimana kita hendak mendapat momentum untuk mengingatkan diri sendiri seterusnya membersihkan diri kita? Maka, janganlah jemu memberi peringatan...

Tuesday, April 27, 2010

Takut dan Harap

Kita takut..

Takut dosa tidak diampunkan,
Takut hati dibolak balikkan,
Takut hidayah direnggut kembali,
Takut mati dalam kekufuran,
Takut timbangan berat ke kiri,
Takut balasan Neraka yang tersangat pedih azabnya.

“(Yaitu) orang-orang yang takut akan (azab) Tuhan mereka, sedang mereka tidak melihat-Nya, dan mereka merasa takut akan (tibanya) hari kiamat.” (Al Anbiya: 49)

Tapi Allah sentiasa memberi pengharapan,
Allah Maha Pengampun,
Allah Maha Penerima Taubat,
Allah Maha Penyayang,
Allah Maha Adil.
Kebaikan itu akan memadamkan keburukan,
Amalan baik yang baru sahaja diniat sudah diberi ganjaran,
Syurga itu pasti untuk orang yang beriman dan beramal soleh.
“Wahai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az Zumar: 53)

Takut dan harap,
Ibarat sepasang sayap yang menerbangan orang mukmin kepada Allah.
Tanpa salah satunya,
Adakah mampu kita terbang?

p/s: counting the days..to have my family here in UK and also the books! To widad munisah, nanti ada koleksi buku-buku baru untuk dipinjam :)

Friday, April 23, 2010

Pelbagai

Bismillah,

Minggu ini penuh kegembiraan dan ketenangan. Bermula daripada kedatangan dua orang sister Brunei yang belajar di Surrey hinggalah kepada berita (atau cerita) yang disampaikan kepadaku semalam.Minggu lepas selepas mengalami sedikit 'kefuturan', Allah bantu untuk meningkatkan semula iman ini dengan adanya Qiyamulail bersama WidadMunisah dan juga kedatangan sister Brunei serta Tazkiyatun nafs yang aku dapat dari Talk Dr Gavin. Alhamdullliah... Allah itu Maha Penyayang. Aku sangat merasakan kasih sayangNya.

Ketika di depan Kaabah, dan di dalam Raudah aku ada berdoa untuk orang-orang yang tertentu yang dekat padaku dengan menyebut namanya supaya diberi hidayah oleh Allah. Orang-orang tersebut bukanlah orang yang sentiasa berbuat kemungkaran. Cumanya, aku berdoa agar orang-orang ini merasakan apa yang aku rasa sekarang. Rasa betapa manisnya iman dan rasa tidak mahu melepaskan hidayah yang Allah berikan.

Alangkah gembiranya di hati apabila dalam beberapa minggu ini, aku dapat merasakan doa aku itu dikabulkan kepada beberapa orang yang kudoakan. Mungkin masih awal untuk mengatakannya, tetapi aku nampak tanda-tanda perubahan kepada orang-orang itu.Ya Allah, semoga mereka genggam hidayah yang engkau berikan, dan tetapkanlah hati mereka.

Aku ingin membuat promotion di sini. Memandangkan ada beberapa orang bertanyakan bagaimana nak dapatkan usrah di Malaysia, InsyaAllah aku sudah bertanyakan sahabatku dan alhamdulillah aku rasa aku boleh membantu mereka yang nak join usrah ni. Cumanya, kalian yang berminat perlu hantar details berikut : Alamat, no telefon dan email dan emailkan kepada ku di : ixmim@yahoo.com.

Mungkin di Malaysia, kita rasa kita sangat sibuk. Sempatkah usrah ni? Sempat atau tidak semuanya terpulang pada diri sendiri kerana padaku kesibukan itu tidak akan habis sampai bila-bila pun.Sebelum ni aku pernah menulis mengenai keberkatan masa. Bagaimana Imam Nawawi yang memang sangat sibuk tu masih mampu menulis banyak sangat buku. Masa itu sangat subjektif. Allah boleh membuatkan kita merasakan masa itu panjang atau pun masa itu sangat pendek tetapi masih dalam kiraan 24jam. Semuanya adalah kerana keberkatan masa yang digunakan itu. InsyaAllah, kalau kita berusaha untuk membaiki diri dan mencari redha Allah itu, Allah akan melapangkan masa kita. Walaupun anak berderet, kerja menimbun tetapi jika ada kemahuan, di situ ada jalan. Banyak-banyaklah berdoa pada Allah.Aku akan cuba membantu setakat yang aku boleh InsyaAllah...

Aku menyeru agar kawan-kawan terus berusaha membaiki diri. Terus mencari hidayah Allah itu. Jangan putus-putus berdoa. Kita hidup di dunia ini tidak lama. Cukup-cukuplah menjadi robot di dunia ni yang setiap hari bangun pergi kerja, pukul 5 balik kerja, balik rumah makan, tengok tv, main dengan anak kemudiannya tidur. Esok pun aktiviti yang sama. Weekends pula duk rumah main dengan anak atau pergi tengok wayang atau pergi shopping. Rutin yang sama dilakukan untuk 365 hari. Sibuk memenuhkan poket dunia tetapi poket akhirat dibiarkan koyak rabak tidak berisi sangat.Cukup-cukuplah menjadi hamba kepada dunia, sibuk hendak mengikuti arus fesyen semasa, sibuk untuk menjadi orang yang pertama mengetahui berita terkini artis atau dunia hiburan, sibuk mahu mendapat barangan jenama supaya orang tak pandang lekeh pada kita.Perlukah semua itu? Kenapa pandangan manusia yang kita mahu kejar, sedangkan pandangan Allah itu kita kesampingkan?

Jika ditakdirkan sebentar lagi Allah menjemput kita, Sudah bersediakah?

Wednesday, April 21, 2010

An Nafs - The Soul

Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar hambaNya. Ketika aku ingin sekali pergi ke kuliah agama di Boyd Orr building tetapi harus memilih : ke kelas Arabic atau pun ke kuliah agama? Allah permudahkan keputusanku. Aku memilih untuk hadir ke kelas Arabic dengan harapan ada kawan-kawan yang akan  membuat 'recording' kuliah agama tersebut. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui bahawa hambanya ini nak sangat pergi kuliah agama dan ditakdirkannya Kelas Arabic petang itu dibatalkan. Walaupun penat berjalan ke kelas tapi rasa gembira di hati kerana masih ada peluang ke kuliah agama. Maka aku kongsikan sedikit tazkiyatun nafs dari Dr Gavin yang merupakan pensyarah di Edinburgh University. (Sila baca profile Dr Gavin).

Aku sangat tertarik bila Dr menjelaskan bahawa IKHLAS adalah asas kepada 'spiritual life'. Keikhlasan dapat memusatkan seluruh kehidupan kita hanya kepada Allah. Keikhlasan membawa kita kepada Allah. Keikhlasan kepada Allah dalam setiap apa yang dilakukan. Walaubagaimanapun, bukan mudah untuk mencapai keikhlasan ini.

Kadang-kadang kita secara tidak sedar melakukan sesuatu perkara atas sebab sesuatu yang lain dan bukan kerana Allah. Semasa di Mekah, persoalan kenapa aku buat PhD sering bermain-main di benak fikiran. (ketika itu aku merasakan nak duduk di tanah haram dan beribadah sahaja) Hinggalah Allah memberi petunjuk dan jawapannya apabila aku bacakan doa Kak Fidah. Ketika itu aku menangis membacakan bait-bait doa yang memohon agar perjalanan PhD ini menjadi satu jalan ibadah dan dapat mendekatkan diri kepadaNya. PhD ini bukan dicapai hanya untuk memastikan aku pulang ke Malaysia dengan title Dr dan melayakkan diri menjadi pensyarah di Universiti. PhD ini bukan jalan untuk mendapatkan penghormatan dari orang lain. Tetapi PhD ini jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ya Allah permudahkanlah jalannya!

Manusia ini terbahagi kepada dua: jasad (body) dan juga ruh/jiwa(soul). Aku selalu mengingatkan adik-adik usrahku mengenai hal ini. Bagaimana hendak menjaga jasad adalah tidak sama dengan bagaimana menjaga ruh kita kerana asal kejadian keduanya tidak sama. Jasad dari tanah, Ruh dari langit. Hendak merawat hati yang duka bukan dengan makan aiskrim atau pergi shopping.Kerana Ruh itu datangnya dari langit, maka segala apa yang dilakukan ke atas nya haruslah bersumberkan langit juga (Al quran, solat, zikir etc..).

Ok, back to the soul.(Should i say ruh or jiwa..ermm jiwa sound better). Allah telah menjadikan kita bertanggungjawab ke atas diri sendiri dengan mengilhamkan kita dua jalan : Jalan kejahatan(fujur) dan jalan ketaqwaan.
"Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan.[8] sungguh beruntung orang yang menyucikan jiwanya[9] dan sungguh rugi orang yang mengotorinya [10]"  (Surah As Syam)
Maka, pilihan di tangan anda! Aku mahu mengajak supaya jadilah orang yang berjaya dengan selalu menyucikan jiwanya.

Jiwa ini ada 3 tingkatan seperti yang dijelaskan di dalam Al Quran, iaitu :

1) Jiwa yang mendorong kepada kejahatan (Al nafs la ammaratun bi'l su')
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."(Surah Yusuf, ayat 53)
2) Jiwa yang sentiasa dalam penyesalan ( Al nafs al lawwamah)
"dan aku bersumpah demi jiwa yang selalu menyesali (dirinya sendiri)"                                    (Surah Al-Qiyamah, ayat 2)
3) Jiwa yang tenang (Al nafs al mutmainnah)
"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya."(Surah Al Fajr, ayat 27-28)
Adalah hasrat setiap jiwa yang diciptakan Allah ini untuk mencapai jiwa yang tenang, yang redha terhadap apa yang ditentukanNya dan juga mendapat keredhaanNya.

Apabila jiwa sentiasa menyesali keburukan yang dilakukan, maka itu adalah jalan pertama ke arah mendekatkan diri kepada Allah. Setiap penyesalan harus disusuli dengan taubat dan berusaha untuk tidak kembali melakukan keburukan. Cuba kita muhasabah kembali, setiap kali menyesal adakah kita bertaubat? Adakah kita berusaha untuk tidak melakukan kembali keburukan itu.Kadang-kadang kita dah menyesal, kita dah bertaubat, tapi kita tetap mengulangi kesilapan yang sama? Kan? So, bagaimana nak elak perkara ini terjadi.

Apa yang aku nampak dan cuba lakukan sekarang adalah menjauhi terus perkara keburukan itu. We tend to do it again sebab kita sentiasa berada dalam lingkungan perkara yang buruk itu. Jika tidak mahu lakukan keburukan itu semula, maka keluar lah dari lingkungan itu. Masuklah dalam lingkungan kebaikan atau masuk dalam lingkungan manusia yang sentiasa akan memberi peringatan dan bersama-sama membaiki diri. Jika tidak mahu jadi pengumpat lagi, kurangkan bercakap hal yang tidak perlu, banyakkan berzikir dan jangan berada di lingkungan manusia yang suka bergosip.

Aku doakan semua jiwa akan menjadi jiwa yang tenang.....Mujahadah lah!!!

p/s: Sorry, entri ni mcm ada lompat sana lompat sini. ada banyak yang hendak di kongsi tapi tak tahu bagaimana nak menyusun kata....

Sunday, April 18, 2010

Perkongsian tentang usrah

Hidup dalam tarbiyah, mengubah segalanya. Dua hari lalu, aku ditegur oleh rakan lama ketika di universiti bertanyakan khabar.

"Ayat-ayat mimi sekarang dah lain. Nampak ayat orang ada fikrah"
Aku hanya membalas dengan 'smiley face' selanjutnya kami terus berbicara mengenai permasalahan semasa hinggalah kepada isu jemaah dan kembali kepada topik 'mengusrahkan' kakitangan di universiti apabila pulang nanti.

Bila sebut perkataan usrah, ramai yang macam 'alergy' dengan perkataan ini. Nama 'usrah' ni sentiasa dikaitkan dengan ekstrimist dan juga anti kerajaan. Satu pandangan yang aku rasakan sangat sempit. Tapi tak boleh salahkan juga orang yang berfikiran begitu.Mungkin sejarahnya ada mereka yang bergiat cergas dalam usrah ini yang bersikap seperti yang mereka fikirkan. Tetapi hakikatnya, jika mereka tahu apa sebenarnya usrah ini, mereka pun mahu turut serta di dalamnya. Aku faham bahawa ada orang rasa kita sangat ekstrim bila kita mengamalkan Islam secara total. Mungkin sebabnya kerana di negara kita, sudah 'terbiasa' Islam ni di pilih-pilih yang mana hendak di amalkan. Bab Nikah, bab harta pusaka, bab cerai berai, bab babi haram itu adalah bab-bab yang biasa dipilih. Tapi bila bab aurat, bab ikhtilat, dan banyak lagi yang tidak pula berada dalam pilihan.

Allah dah beritahu dengan sejelas-jelasnya dalam surah Al Baqarah ayat 208;
"Wahai orang-orang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan, sungguh ia musuh yang nyata bagimu"
Kita kena ambil Islam itu seluruhnya. Kena pakai pakaian Islam itu seluruhnya. Kena masuk ke dalam Islam itu seluruhnya. Yang bermaksud, kena buat setiap apa yang disyariatkan oleh Allah, dan bukan boleh pilih-pilih mengikut pilihan hati.

Berbalik kepada usrah. Apa ada pada usrah? Best sangat ke orang-orang yang ikut usrah tu? So, orang yang tak ikut usrah ni tak baik ke?

Jawapannya :

Kembali kepada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Kita lihat bagaimana Abu Bakar boleh menginfakkan keseluruhan hartanya ke JAlan Allah tanpa meninngalkan apa-apa untuk keluarga dan diri. Kita lihat betapa hebatnya Umar menjadi khalifah yang walau sebagai pemimpin tapi masih hidup sederhana dan sentiasa tetap rendah diri dan penuh tawadhuk. Kita lihat berapa ramai sahabat Rasulullah yang sanggup diseksa demi mempertahan keimanan kepada Allah.

Semua ini tidak akan tercapai jika tiada tarbiyah. Tarbiyah secara langsung daripada Rasulullah bersumberkan kepada Al Quran.Tarbiyahlah yang menghasilkan manusia yang hebat.

Apabila berusrah, secara tak langsung kita telah memasuki proses pertarbiyahan. 

Kalau tak usrah tak dapat tarbiyah diri ke? 
Apa yang boleh aku katakan, jika kita berusrah, proses tarbiyah itu akan disusun dengan lebih teratur dan kemas. InsyaAllah, selagi kita berada dalam usrah, selagi itu kita berada dalam ikatan tarbiyah. Fungsi usrah sepatutnya mengikat hati-hati di dalamnya kepada Allah. Di dalam usrah kita diberi peringatan. Di dalam usrah adanya ukhuwah.Di dalam usrah adanya penanaman fikrah islamiyah. Macam-macam ada dalam usrah yang membawa kepada proses pertarbiyahan setiap induvidu di dalamnya. Dengan kata lain : Input---------->Proses (tarbiyah)-------->Output

Tarbiyah bukan sekadar proses pemindahan ilmu.Tarbiyah adalah proses pembinaan seseorang itu secara menyeluruh untuk membentuk peribadi muslim sejati.

Aku tak pernah pandang orang yang tak berusrah tu tak baik atau orang yang tak berusrah takleh jadi manusia hebat. Mereka mungkin boleh jadi manusia yang sangat hebat dengan izin Allah. Cumanya, bila bersendirian mentarbiyah diri, pilihan itu di tangan diri sendiri. Dan iman itu ada naik turunnya.Jika sendiri malas mentarbiyah diri, maka hanyutlah diri itu. Beza bila berusrah dengan tidak berusrah, bila iman itu turun, kita ada support sistem dari kalangan ahli usrah yang sentiasa boleh mengingatkan.Kadang-kadang naqib/naqibah kita boleh ketuk sket kepala ni bagi peringatan supaya tak futur (huuuu!).

Saja nak berkongsi tentang usrah ni. Sebab aku rasa sangat best berada dalam usrah dan berada dalam tarbiyah....

Friday, April 16, 2010

Kehidupan

Kehidupan aman tenteram seminggu yang lalu sudah berlalu. Kini kembali sebagai pelajar, daie, kawan, dan anak (yang pening-pening plan vacation untuk familynya..hihi).

Tanggungjawab yang pertambahannya berkadar langsung dengan pertambahan usia. Minggu ini sahaja hampir setiap hari ada meeting untuk program dakwah dan usrah. Minggu ini juga berhempas pulas nak catch up balik kerja-kerja PhD yang ditinggalkan seminggu dan juga mula menulis report. Minggu ini juga nak plan perjalanan percutian keluarga yang akan tiba 1 May nanti. Minggu ini juga nak menyelesaikan hal ehwal rumah yang dipohon di sini.

Alhamdulillah, bulan 6 nanti kami bakal kembali ke Charles Street. Kembali ke tempat pertama yang dituju ketika menjejak kaki di Glasgow. Rumah murah ala PPRT yang selesa untuk aku dan housemate menghabiskan 6 bulan lagi di UK. Sungguh cepat masa berlalu. Pejam celik dah nak dekat 4 tahun di UK. Teringat masa sebelum dapat datang ke UK. Aku berdoa banyak sangat nak merasa duk kat UK. Alhamdulillah Allah makbulkan. Kedatangan diri ini ke UK pun banyak mengubah diri sendiri. InsyaAllah perubahan yang lebih baik. Begitu cantik perjalanan hidup yang Allah tentukan ini.

Doakan kesudahan yang baik untuk aku di sini. 7 bulan lagi untuk siapkan semua. Ya Allah permudahkan!

Wednesday, April 14, 2010

Jaga hati

Di kala ini, terasa rinduuuuuuuuuuuu sangat untuk berada di hadapan kaabah. Hati rasa melankolik. Tak tahu petanda stress atau apa ( I have 2 weeks to finish one part of my PhD before my family vacation in early May). Tapi yang pasti bila teringat Mekah dan Madinah mesti nangis. :(  Ya Allah, nak pergi sana sekarang boleh tak?

Perkara yang paling dipelajari ketika di sana adalah dalam soal menjaga hati dan sentiasa meminta keampunan dari Allah dengan beristigfar. Itulah amalan yang cuba aku istiqamah. Rasa beruntung kerana kebetulan masa sampai di Glasgow Ahad lalu, aku terkunci di luar rumah gara-gara tertinggal kunci di London . Alhamdulillah housemate masih di London. Sementara menunggu kepulangan housemate di malam hari, aku berteduh di rumah kawan. Berkesempatan membaca buku Travelog Dakwah Prof Kamil. Alhamdulillah...buku itu umpama pelengkap kepada perjalanan umrahku.

Buku tersebut mengingatkan aku apa yang perlu dilakukan selepas pergi umrah ni? Apa yang patut kita buat? Adakah amalan ibadah di Haramain itu hanya di sana?Alhamdulillah, buku itu mengingatkan diri supaya istiqamah dengan ibadah. Mungkin sepatutnya selepas umrah ini solatku patut lebih khusyuk kerana boleh membayang Kaabah yang sebenar. Amalan Istigfar harus diteruskan. Sabar juga perlu sentiasa. Oh..banyak lagi.

Soal menjaga hati adalah sesuatu yang paling sukar. Jika di Haramain, apa yang terlintas terus dpt cash di sana.

Hati oh hati...
Suatu masa dahulu, ada seorang kawan menasihatkan supaya aku kurangkan tengok tv untuk menjaga hati. Alhamdulillah...aku cuba mengikut nasihatnya. Thanks Sarahani.. its really works! Terasa hati terjaga sedikit.
Selain tu, of course kena selalu baca Al Quran. Berada di majlis ilmu dan selalu ingat mati.

Seriously sekarang memang tak tahu langsung perkembangan hiburan.Semoga diri terus istiqamah!
Owh, jangan salah faham...bukan mahu menunjuk amalan ke apa, cumanya nak share supaya mungkin boleh diamalkan oleh orang lain juga. Tiada niat nak riak atau menunjuk. (Ya Allah, jangan lah kau terbitkan rasa riyak dalam hati ni....)

Dua tiga hari ni ada sesuatu yang mengganggu hati..
Ya Allah, ampunkan dosaku..ampunkan dosaku..
Tenangkan hati ini
Jangan kau serahkan diriku ini kepada ku walau sekelip mata.
Astagfirullah..astagfirullah

Cinta di Harmain (final)

Beza Madinah dan Mekah adalah ketenangan dan hiruk pikuknya. Madinah lebih tenang. Ramai yang mengakuinya. Namun, Mekah tetap mempunyai sesuatu yang tidak dapat diganti dengan apa sekalipun. Separuh hati ini sudah ditinggalkan ni Makkah Mukarammah.

"Nanti jangan lupa doa jodoh Mi di Raudhah"

Itu pesan mama bila aku menelefonnnya. Risau anak daranya yang seorang ini masih belum bertemu jodoh sedangkan usia sudah semakin bertambah. Diri sendiri? Aku sudah melepasi fasa risau itu. Sekarang sememangnya berserah kepada Allah sahaja. Doaku semoga Allah kurniakan jodoh yang baik dan memahami diri yang telah menyerahkan jiwa dan raga kepada jalan dakwah ini. 

 Di Madinah aku berpeluang ke Raudhah sebanyak tiga kali. Berbekalkan kesabaran yang tinggi kaki ini dapat menjejak karpet hijau penanda kawasan raudah (kawasan lain karpet berwarnna merah). Walau sebegitu ramai manusia berhimpit mencari ruang di dalam Raudhah, aku rasa sangat beruntung kerana Allah sentiasa memberi ruang kecil untukku bersujud. Masa menunggu untuk masuk ke Raudhah ini sangat lama. Aku sempat mengajak adik-adik serombongan denganku bermain kuiz Al Quran sambil menunggu giliran dipanggil. Bertanyakan kisah-kisah nabi yang terdapat di dalam Al Quran disamping mengupas beberapa ayat sebagai tazkirah pendek untuk mengisi waktu kami yang panjang.

Di Masjid Nabawi juga aku bertemu dengan seorang Makcik  yang baik dari Syria. Ketika itu aku sedang menghafal juz amma dan dia menegurku. Dia suruh aku perdengarkan hafalan kepadanya. Segan pun ada...Makcik ni betulkan tajweed dan bacaan ku yang tak berapa betul. Sesungguhnya Allah telah membaca hatiku. Beberapa minit sebelum itu, ada seorang minah arab ni dan makcik dari malaysia saling betul-membetulkan bacaan Al Quran.Dalam hati terasa alangkah seronoknya jika ada orang yang boleh ku tasmikkan bacaan.  Nah! Allah terus beri makcik Syria ini kepada aku.

Jayid! 

Makcik tu kata tajwid aku bagus. Ala....tak dapat mumtaz (cemerlang). Dapat baik jer....hiii...

Ketika di Madinah juga kami berpeluang pergi ke kawasan Medan pertempuran perang Uhud. Teringat Lagu Hamzah Asadullah nyanyian inteam. Aku cuba membayangkan keadaan peperangan ketika itu. Hurm...dapat bayang sedikit sahaja sebab kawasan tersebut sekarang  penuh dengan jualan-jualan.

Hari terakhir di Madinah sungguh menghibakan. 

"Rasulullah, kami nak pergi ni. Nanti kami datang lagi" Kata Murni sambil melambai ke arah makam Rasulullah. Comel jer. 

Dalam hati rasa sedih yang amat.InsyaAllah aku akan kembali....izinkan aku YAaAllah menjadi jemputanMu sekali lagi.




Monday, April 12, 2010

Cinta di Haramain III

Aku berada di pusingan terakhir tawaf sunat. Sambil bertawaf sambil cuba mendekatkan diri ke arah kaabah. Aku cuba menyelit-menyelit dikalangan ribuan manusia yang ada hinggalah aku dibawa di hadapan multazam.Ada barisan yang sedang berasak-asak untuk mencium hajarul aswad. Ada orang pesan, jika mahu mencium hajarul aswad, hati mesti bulat.Mesti pergi penuh keyakinan dan keinginan yang tinggi. Aku kumpul semua semangat yang ada. Bismillah...Allahuakbar.

Aku masuk ke dalam barisan wanita. Bermulalah manusia-manusia menghimpitku. Terasa sesak di dada. Aku terus dihimpit dan barisan bergerak perlahan-lahan ke hadapan. Aku dapat melihat kesusahan pengawal yang menjaga Hajarul Aswad mengawal keadaan. Himpitan semakin hebat. Aku semakain hampir. Hanya tinggal seorang wanita Arab dihadapanku. Wanita tersebut agak besar.Aku sudah tercium harum hajarul aswad. Hati terus beristigfar.Ketika itu himpitan semakin dahsyat.

Wanita dihadapanku tidak mahu bergerak.Aku sudah nampak hajarul Aswad tapi tidak dapat mencapai nya. Tiba-tiba terdetik di dalam hati. "Alangkah bagus jika orang Islam beratur, pasti semua akan dapat mencium batu ini". Habis sahaja lintasan hatiku, seorang lelaki meluru ke hajarul Aswad menolak wanita di hadapan ku dan dia terus menolak yang lain-lain apabila ditarik keluar oleh pengawal supaya dia tidak berlama-lamaan mencium hajarul aswad itu.

Aku yang kecil ini dihimpit dan ditolak ke belakang. Sedikit demi sedikit aku menjauhi Hajarul Aswad.
Ah, bukan rezeki ku! Aku redha! Aku tidak cukup kuat hati dan fizikal untuk meneruskannya. Aku mengalah dan melangkah keluar dari barisan terus menuju ke Hijri Ismail.

Aku terus memujuk hati. Mencium Hajarul Aswad itu bukan perkara wajib. Semoga dengan lambaian ku penuh ikhlas pada batu itu, dia dapat menjadi saksi keberadaanku di Mekah ini. Aku masuk ke Hijri Ismail, memanjatkan doa kepada Allah. Semoga Allah ampunkan dosaku. ampunkan dosa ibu bapa ku.Ampunkan dosa kakak dan adikku.Ampunkan dosa sahabat2 ku...

*****************

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.[2:200]

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".  [2:201]

Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya [2:202]

3 Ayat dari surah Al Baqarah yang dibaca ketika selesai berdoa di hadapan Kaabah ini benar-benar menyentuh hati. Menghitung-hitung kembali, adakah doa ku banyak doa untuk dunia? Di kala itu, air mata mengalir lagi. Aku minta dimudahkan PhDku, aku minta dimudahkan jodohku, Aku minta dimurahkan rezeki ku.Tapi sedikit sahaja doa yang aku minta untuk akhirat. Allah menegurku secara langsung. Dari beribu-ribu ayat yang ada di dalam Al Quran itu, hatiku memilih untuk membaca ayat ini. Astagfirullah.. terus aku bangun solat taubat. Mengharapkan keampunan dan mengharapkan kebahagian di akhirat nanti.

*************

Kakiku melangkah longlai di hari terakhir menjalankan ibadah umrah. Tumitku sudah pecah-pecah. Jari-jari di tapak kaki mula melecet. Aku bersaie dengan penuh kepayahan dan kepenatan. Dalam keadaan tidak bersemangat, tiba-tiba aku mendengar laungan Allahuakbar dan Ya Allah! berkali-kali dari sekumpulan lelaki yang sedang bersaie. Tiba-tiba aku disuntik dengan semangat yang membara.

Aku melambatkan langkahku agar kumpulan tersebut terus ke hadapan menghampiriku. Ketika mereka betul-betul di belakang ku, aku mendengar doa yang dibacakan oleh ketua jemaah tersebut. Doa memohon keamanan di Baitul Maqdis. Shabab (pemuda) dalam jemaah tersebut mengaminkan doa dengan penuh semangat. Doa memohon supaya dimusnahkan zionis Israel! Setiap baris doa di sambut dengan Ya Allah! dengan penuh semangat.

Aku yang longlai kembali segar. Doa yang dibaca bagai terus menusuk ke dalam hati menyuntik semangat untuk terus bersaie.  Tinggal 3 pusingan. Aku bersaie bersama kumpulan ini. Berkongsi semangat mereka dan Alhamdulillah, kaki yang sakit dapat ku lupakan buat seketika. Pertolongan Allah itu datang tanpa di duga, dan tidak kita ketahui caranya.

***************
Malam terakhir, aku berniat untuk beriktikaf di masjid. Aku bawa handphone ku. Sedikit gambar ku ambil sebagai kenangan. Bila jam menunjukkan pukul 1 pagi, aku mengambil keputusan untuk melelapkan mata sebentar di tempat solat wanita. Alarm ku kunci 3.30 pagi. Telefon ku letak di bawah tudung dan mata aku pejamkan lena.

Entah bunyi apa yang buatkan ku terjaga.Sedar-sedar aku meraba-raba di atas karpet mencari telefonku. Astagfirullah! Telefonku tiada! Dalam hati berasa sangat cemas. Adakah Allah tutup pandanganku terhadap telefonku. Aku terus meraba. Menjenguk-jenguk dibawah rak Al quran.Sah! telefonku hilang.

Aku duduk beristigfar. Mengingatkan semula apakah kesalahan yang dilakukan. Mungkin dalam hati siang tadi, ada terdetik mengenai handphone seorang rakan yang tertinggal di dalam bus. Hati terdetik mengatakan perkara tersebut terjadi sebab kawan tersebut asyik bergayut di telefon.Astagfirullah..terus aku bangun solat taubat.Setiap kejadian itu, Allah yang menentukan. Aku hilangkan rasa sedih kehilangan handphone. Aku pujuk hati, Allah mahu aku sedar yang harta dunia ini hanya sementara. Bila-bila masa boleh ditarik semula.

 ****************
Pusingan terakhir tawaf wida' hatiku penuh hiba. Air mata mengalir laju. Sedih meninggalkan Baitulharam. Sungguh-sungguh aku berdoa agar Allah menjemput aku kembali.Sungguh-sungguh juga aku berdoa agar aku mati di sini. Disolatkan oleh ribuan jemaah di dalam Baitulharam..

Baitulharam, aku akan kembali dengan izinNya, Insya Allah...

Cinta di Haramain II

Selesai ibadah umrahku yang pertama, aku bergegas solat Jama' Maghrib dan Isya'. Laungan azan pertama menandakan waktu subuh akan masuk dalam masa lebih kurang sejam. Ustaz mahu pulang ke hotel, tapi aku dan kawan-kawan mahu terus berada di masjid menanti subuh. Kehendak hati tidak sama dengan kehendak badan. Mata sesekali tertutup ketika duduk berzikir sementara menanti Subuh. Letih untuk pusingan pertama umrah ini amat dirasai.

**********************

Hari Kedua di Baitulharam ku mulakan dengan bertawaf sunat. Berjalan-jalan di sekitar masjid dan cuba mengenal beberapa kawasan yang boleh dijadikan 'spot' untuk bersolat. Ustaz pesan, biar kita bersolat di beberapa tempat. Agar setiap tiang yang berhampiran tempat solat kita tu menjadi saksi kepada kita di akhirat kelak.

Terik matahari amat dirasai. Panas! Jika aku datang dari Malaysia mungkin tidak berapa terkejut dengan kepanasan ini. Biar pun panas digagahi juga untuk bertawaf sunat.

Selesai tawaf sunat, ku buka satu persatu lembaran yang dikirim oleh kawan-kawan yang mengandungi pelbagai doa. Aku baca satu persatu. Aku baca dengan bersungguh dan sekhusyuk mungkin kerana aku tahu itulah pengharapan daripada mereka. Aku berdoa seolah-olah permintaan mereka itu adalah seperti permintaan ku juga. Rasa sungguh tenang berdoa di hadapan Kaabah. Semoga segala permintaan dikabulkan Allah.Amin!

************
Hari ketiga di tanah haram, aku terpaksa mencari sarapan sendiri memandangkan pakej kami di Mekah tidak menyediakan sarapan pagi. Aku dan Wani mencari-cari restoran untuk membeli sarapan. Rata-rata restoren dipenuhi oleh kaum Adam. Bila kami berdua melangkah masuk, semua mata memandang ke arah kami. Tetiba rasa segan pula dengan keadaan begitu. Tapi, kalau tak beli maknanya tak makan la. Kami memesan Kari ayam dan kacang kuda serta roti Nan. Harga? 6 riyal. Urusan pembelian adalah dalam Bahasa Melayu.Agak mudah di sini memandangkan Pak-pak Arab rata-rata tahu berbahasa Melayu.

Hari ketiga ini kami bergerak ke Tanaim untuk mengambil niat di miqat di situ. Singgah di masjid di Ja'ranah bersolat dan berniat umrah. Kami juga dibawa ke Jabal Nur, Jabal Thur, Jabal Rahmah. Melihat Jabal Thur, masyaAllah..tingginya untuk didaki. Tetapi, ustaz pengiring kami sudah pesan awal-awal yang kami tidak akan memanjat sebarang bukit. Tidak ada amalan khas untuk itu. Tidak disyariatkan pun untuk mendaki mana-mana bukit. Memandangkan umrah ziarah kami singkat hanya satu minggu, tumpuan akan lebih pada ibadah umrah itu sendiri dan bukanlah ziarah.

Ketika bas memasuki perkarangan Jabal Rahmah, ustaz sekali lagi berpesan. Jika mahu berdoa tentang jodoh, mohonlah di depan Kaabah bukan di Jabal Rahmah. Lebih mustajab doa dihadapan Kaabah. Aku sangat bersetuju dengan ustaz. Bukankah kita lebih khusyuk berdoa di hadapan Kaabah. Banyak tempat mustajab doa di Baitulharam. Kawasan Jabal Rahmah ini yang termasuk dalam kawasan Arafah  yang mustajab doanya hanya pada hari berwukuf.

Di Jabal Rahmah, ahli rombongan masing-masing mengambil kesempatan menunggang unta. Aku, housemate dan akuatik langsung tidak berminat. Selain faktor panas terik hingga aku sendiri tak dapat membuka mata dek sinar matahari yang sangat terik itu, tak pernah terlintas pun mahu menaiki unta. Biarlah..bukan tujuan itu kedatangan aku ke sini. Sekali pandang, aku tidak terasa apa-apa melihat arafah ini. Mungkin kerana pandangan sudah dipenuhi dengan unta-unta yang berhias, laungan-laungan peniaga dan juga taik-taik unta dimerata-rata tempat. Tidak langsung terasa kerohaniannya. Hanya berdoa semoga aku dapat menunaikan Haji dan berwukuf di sini.Mungkin ketika itu aku baru dapat merasai keadaan 'mini padang mahsyar'.

Pulang ke hotel, badan ku sudah terasa panas. Tanpa di sedari titis-titis darah keluar dari hidungku ketika aku membasuh muka. Darah terus mengalir laju seakan tidak mahu berhenti. Kali terakhir hidungku berdarah adalah ketika zaman kanak-kanak dahulu. Plan untuk melanksanakan tawaf terpaksa ku tunda sebentar.Menunggu darah kering. Alhamdulillah.. sejam selepas itu keadaan kembali pulih. Dan petang itu aku mengerjakan umrah untuk kali kedua.

Kali ini aku bersendirian. Berjalan dari hotel, pergi bertawaf dan bersaie berseorangan. Bila berseorangan, aku dapat refleks banyak perkara. Memerhati manusia disekeliling. Berbagai bangsa, berbagai jenis, berbagai ragam. Aku juga dapat berkenalan dengan jemaah-jemaah Malaysia dan Indonesia yang ramah bertegur sapa ketika duduk di dalam saf untuk bersolat.

bersambung...

Cinta di Haramain I

Pesawat Saudi Arabian Airline selamat mendarat di Lapangan Terbang Jeddah dalam pukul 12 malam. Tidak tahu perasaan apa yang ada di dalam hati. Teruja? takut? entah. Tapi segunung kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi. Dengan kuasaNya, aku berada di sini. Menerima jemputan sebagai tetamu di rumahNya.

Urusan di imigresen agak kelam kabut. Mahram ku yang duduk berselang beberapa kerusi di belakang ku ketika di dalam kapal terbang tidak muncul-muncul setelah setengah jam menunggu. Ahli-ahli rombongan yang lain sudah bergerak keluar dari imigresen. Inilah ujian pertama. Ujian kesabaran. Tidak lama selepas tu, aku nampak dua orang lelaki berjalan lambat-lambat tersengih-sengih dari jauh. Mahramku! Dalam hati timbul juga rasa geram. Masih berlambat-lambat bagai datang nak makan angin.

****************

LambaikAllah humma labaik..mulut tidak berhenti bertalbiah. Jantung terus berdegup kencang ketika kaki melangkah masuk ke dalam masjidil haram melalui Babus salam. Untuk pertama kalinya, mata ini akan disajikan dengan nikmat yang tidak terhingga. Nikmat melihat rumah Allah buat pertama kali setelah seumur hidup berkiblatkannya. Timbul rasa sayu dalam hati yang penuh kesyukuran. Air mata berlinangan perlahan.

Allahuakbar!Allahuakbar! Allahuakbar!

Pemandangan di mata ini sungguh indah. Rombonganku meneruskan langkah mendekati Kaabah untuk memulakan tawaf umrah. Sekali lagi hati tersentuh. Buat pertama kalinya bertawaf di rumahNya. Aku melihat ke langit, burung-burung juga berterbangan membuat pusingan di atas kaabah ini. Seolah-olah mereka juga bertawaf.

"Tidak perlu membaca bukunya ya. Ikut saja apa yang saya cakap.Nanti, sudah habis bertawaf bolehlah berdoa dan solat sunat tawaf"

Ustaz dari Indonesia yang bertanggungjawab membawa kami memberi penerangan. Buku panduan Umrah ku simpan semula. Sambil bertawaf, sambil mengikut setiap butir yang diucapkan oleh ustaz. Pertama kalinya aku melambai ke Hajarul aswad.

Wahai Hajarul Aswad, aku datang! Kau akan menjadi saksi kedatangan ku ini.

Terus melangkah melalu maqam Ibrahim, Hijri Ismail, Rukun Yamani...lengkap satu pusingan. Terus masuk ke pusingan seterusnya hingga lengkap 7 pusingan. Kepenatan penerbangan 5 jam dari London itu tidak langsung dirasa. Diganti dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan.

Usai tawaf, aku bersolat menghadap Multazam. Doa ku panjatkan agar digugurkan segala dosa yang ada dalam diri. Bertaubat sesungguh-sungguhnya. Diberi kesihatan yang baik agar dapat menjalankan umrah dengan sempurna. Dikuncikan perasaan ini terhadap kecintaan dunia buat sementara ketika menjalankan umrah dan dengan penuh sendu, aku berdoa agar ayah dan mama serta kakak dan adik-adikku juga dapat menjejakkan kaki di sini untuk merasai apa yang ku rasa sekarang. Perasaan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu digambarkan.

Hingga hari ini, gambaran pertama kali melihat kaabah itu masih kukuh dalam ingatan.

*************

Allahuakbar!

7 pusingan bersaie betul-betul menguji kekuatan fizikal dan mental. Di kala itu, aku terbayang-bayang Siti Hajar berlari-lari mencari air. Di waktu ini, tempat bersaie itu sudah selesa.Sudah berlantai Marmar. Sudah berkipas. Tapi ketika Siti Hajar berlari itu, tempat ini adalah padang pasir yang tandus. Di bawah terik matahari dia berulang alik dari Safa ke Marwa. Terasa begitu kerdilnya diri. Keletihan aku bersaie tidak sama dengan keletihan Siti Hajar. Keletihan aku cuma mungkin secubit dari apa yang dia rasakan.

Rasa keinsafan menerobos setiap ruang perasaan. Setiap kali diri terasa letih, ku teguk air zam zam yangt tidak pernah putus-putus bekalannya itu. Seolah ada 'magic', air zam zam ini memberi kekuatan untuk meneruskan saie ku. Hakikatnya, kekuatan ini adalah kurniaan Allah. Dan aku terus berdoa agar terus di beri kekuatan menghabiskan umrah ini.

bersambung....

Sunday, April 11, 2010

Rindu Tanah haram

Allhamdullillah!

Tiada perkataan lain yang layak aku sebut di sini.Hanya puji-pujian untuk Allah yang Maha berkuasa, yang membenarkan dan menjemput diri ini untuk sampai ke rumahNya! Allahu Akbar!

Jika selama ini, ku tatap Kaabah hanya di atas tikar sejadah, kini ku berpeluang melihatnya di depan mata. Khusyuk solat di rumahNya sangat berbeza dengan khusyuk solat di rumah sendiri.

Tarbiyah secara langsung yang ku peroleh di situ, sangat berbeza dengan tarbiyah ku di sini.

Di kala ini hati meronta-ronta mahu kembali ke dua tanah haram itu. Masih terbau-bau harum Hajarul Aswad dan Raudhah.

Aku masih dalam perjalanan pulang ke Glasgow. Permusafiran sejak pukul 2.00 pagi hari Jumaat dari Madinah Al-Munawarah ke Jeddah, tiba di London jam 6 petang dan sekarang aku bergerak ke Glasgow menaiki keretapi. Perjalanan dua hari yang meletihkan tetapi bila mengingati kenangan di tanah haram hilang rasa penat itu.

Banyak cerita yang ingin ku kongsikan...tunggu ya!

Thursday, April 01, 2010

PanggilanMu

"Kak mimi doakan saya lulus exam yer"


"Doakan aku dapat habiskan PhD ni on time"


"Doakan supaya anak-anak aku jadi orang yang soleh"


Dan banyak lagi...


Aku mengumpul kiriman-kiriman doa dari orang di sekeliling saya. Jika aku di tempat mereka, mungkin aku pun akan melakukan perkara yang sama.


Lambaian Kaabah..kuseru panggilannya..

Doakanku selamat pergi dan kembali...
Semoga aku menjadi tetamu istimewaNya.

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP