Engkau yang cantik

Bismillah..

Hari ini air mata mengalir lagi. Menangisi perpisahan dengan sebahagian adik-adik Widad Munisah yang pulang ke Malaysia setelah berjaya tamat pengajian di sini. Walaupun ditahan-tahan, akhirnya kami semua  menumpahkan airmata. Mana mungkin boleh dilupakan kenangan bersama mereka. Kenangan main 'slide' atas snow di belakang hall, kenangan semasa usrah, kenangan berbasikal, dan banyak lagi. Ukhuwah di atas nama Allah ini terjalin dengan begitu kuat sekali biarpun aku hanya rapat dengan mereka dalam masa tidak sampai setahun.
Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.[8:63]
Aku hanya berharap, semoga mereka dapat meneruskan tarbiyah mereka di Malaysia. Alam pekerjaan yang bakal mereka tempuh, adalah alam yang penuh dengan cabaran. Aku dulu juga tewas dan hanyut dibuai kelalaian semasa zaman kerjaku. Mudah dipengaruhi, mudah terikut. Lagi-lagi, aku bekerja di bidang korporat. Penampilan diri adalah sesuatu yang dititikberatkan. 

Sebelum penampilan ku berubah, aku pernah ditegur oleh kakak-kakak kerani di pejabat. Aku ni eksekutif yang selekeh! Agak comot. Tapi akhirnya, mereka dan rakan pejabat ku lain berjaya mengubah diri ini. Dari tidak kenal make-up, hinggalah mata jadi seperti burung hantu, berat dengan make-up. Dari berbaju kurung, hinggalah ke suit lengkap dan bersepatu tinggi. Diriku berubah. Tapi aku sendiri tidak tahu berubah untuk apa. Mahu dilihat cantik? Mahu dilihat menarik? Jahilnya diri sebelum ini.Semoga Allah ampunkan dosa kejahilanku dahulu.

Bila difikir-fikir semula sekarang, betapa bodohnya diri ini. Mudah sungguh dipengaruhi. Betapa otak ini telah di'brainwash' dengan perkara yang tidak sepatutnya. Kecantikan itu bukan terletak pada pakaian yang menarik mahupun make-up di muka. Kecantikan yang diperlukan oleh seorang Muslimah adalah kecantikan akhlaknya dan keluhuran imannya.Kecantikan fizikal itu akan luntur ditelan waktu, dan kecantikan akhlak itu adalah sepajang hayat.


Betapa banyak wanita 'cantik' yang kutemui sekarang. Wajah-wajah suci yang tidak terpalit dengan sedikitpun pewarna di muka ku lihat sangat cantik kerana dihiasi dengan akhlak yang mulia. Cantik fizikal itu hampir terlenyap dalam kotak fikiranku. Mereka semua cantik. Akhawat semua cantik! Itulah kuasa keimanan yang sejati. Keimanan yang benar, yang tertanam dalam hati membuahkan akhlak yang mulia. Ingat lagi perbandingan Allah dalam Surah Ibrahim?
Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25)
 Jika keimanan itu adalah akar pohon yang kuat memasak di atas bumi, maka akhlak yang mulia itu adalah buah-buahan yang dihasilkan oleh pohon tersebut. Buah yang dihasilkan bukan sahaja baik, malah bermanfaat kepada orang lain. Inilah yang kita mahukan.

Tepuk dada tanya iman. Adakah keimanan kita sudah berakar kuat dalam diri? Adakah buah-buah yang bermanfaat sudah kita keluarkan?

"Ya Allah, indahkanlah akhlakku, seindah engkau menjadikan diriku ini"

Amin Ya Rabb!.

Comments