Selesai ibadah umrahku yang pertama, aku bergegas solat Jama' Maghrib dan Isya'. Laungan azan pertama menandakan waktu subuh akan masuk dalam masa lebih kurang sejam. Ustaz mahu pulang ke hotel, tapi aku dan kawan-kawan mahu terus berada di masjid menanti subuh. Kehendak hati tidak sama dengan kehendak badan. Mata sesekali tertutup ketika duduk berzikir sementara menanti Subuh. Letih untuk pusingan pertama umrah ini amat dirasai.
**********************
Hari Kedua di Baitulharam ku mulakan dengan bertawaf sunat. Berjalan-jalan di sekitar masjid dan cuba mengenal beberapa kawasan yang boleh dijadikan 'spot' untuk bersolat. Ustaz pesan, biar kita bersolat di beberapa tempat. Agar setiap tiang yang berhampiran tempat solat kita tu menjadi saksi kepada kita di akhirat kelak.
Terik matahari amat dirasai. Panas! Jika aku datang dari Malaysia mungkin tidak berapa terkejut dengan kepanasan ini. Biar pun panas digagahi juga untuk bertawaf sunat.
Selesai tawaf sunat, ku buka satu persatu lembaran yang dikirim oleh kawan-kawan yang mengandungi pelbagai doa. Aku baca satu persatu. Aku baca dengan bersungguh dan sekhusyuk mungkin kerana aku tahu itulah pengharapan daripada mereka. Aku berdoa seolah-olah permintaan mereka itu adalah seperti permintaan ku juga. Rasa sungguh tenang berdoa di hadapan Kaabah. Semoga segala permintaan dikabulkan Allah.Amin!
************
Hari ketiga di tanah haram, aku terpaksa mencari sarapan sendiri memandangkan pakej kami di Mekah tidak menyediakan sarapan pagi. Aku dan Wani mencari-cari restoran untuk membeli sarapan. Rata-rata restoren dipenuhi oleh kaum Adam. Bila kami berdua melangkah masuk, semua mata memandang ke arah kami. Tetiba rasa segan pula dengan keadaan begitu. Tapi, kalau tak beli maknanya tak makan la. Kami memesan Kari ayam dan kacang kuda serta roti Nan. Harga? 6 riyal. Urusan pembelian adalah dalam Bahasa Melayu.Agak mudah di sini memandangkan Pak-pak Arab rata-rata tahu berbahasa Melayu.
Hari ketiga ini kami bergerak ke Tanaim untuk mengambil niat di miqat di situ. Singgah di masjid di Ja'ranah bersolat dan berniat umrah. Kami juga dibawa ke Jabal Nur, Jabal Thur, Jabal Rahmah. Melihat Jabal Thur, masyaAllah..tingginya untuk didaki. Tetapi, ustaz pengiring kami sudah pesan awal-awal yang kami tidak akan memanjat sebarang bukit. Tidak ada amalan khas untuk itu. Tidak disyariatkan pun untuk mendaki mana-mana bukit. Memandangkan umrah ziarah kami singkat hanya satu minggu, tumpuan akan lebih pada ibadah umrah itu sendiri dan bukanlah ziarah.
Ketika bas memasuki perkarangan Jabal Rahmah, ustaz sekali lagi berpesan. Jika mahu berdoa tentang jodoh, mohonlah di depan Kaabah bukan di Jabal Rahmah. Lebih mustajab doa dihadapan Kaabah. Aku sangat bersetuju dengan ustaz. Bukankah kita lebih khusyuk berdoa di hadapan Kaabah. Banyak tempat mustajab doa di Baitulharam. Kawasan Jabal Rahmah ini yang termasuk dalam kawasan Arafah yang mustajab doanya hanya pada hari berwukuf.
Di Jabal Rahmah, ahli rombongan masing-masing mengambil kesempatan menunggang unta. Aku, housemate dan akuatik langsung tidak berminat. Selain faktor panas terik hingga aku sendiri tak dapat membuka mata dek sinar matahari yang sangat terik itu, tak pernah terlintas pun mahu menaiki unta. Biarlah..bukan tujuan itu kedatangan aku ke sini. Sekali pandang, aku tidak terasa apa-apa melihat arafah ini. Mungkin kerana pandangan sudah dipenuhi dengan unta-unta yang berhias, laungan-laungan peniaga dan juga taik-taik unta dimerata-rata tempat. Tidak langsung terasa kerohaniannya. Hanya berdoa semoga aku dapat menunaikan Haji dan berwukuf di sini.Mungkin ketika itu aku baru dapat merasai keadaan 'mini padang mahsyar'.
Pulang ke hotel, badan ku sudah terasa panas. Tanpa di sedari titis-titis darah keluar dari hidungku ketika aku membasuh muka. Darah terus mengalir laju seakan tidak mahu berhenti. Kali terakhir hidungku berdarah adalah ketika zaman kanak-kanak dahulu. Plan untuk melanksanakan tawaf terpaksa ku tunda sebentar.Menunggu darah kering. Alhamdulillah.. sejam selepas itu keadaan kembali pulih. Dan petang itu aku mengerjakan umrah untuk kali kedua.
Kali ini aku bersendirian. Berjalan dari hotel, pergi bertawaf dan bersaie berseorangan. Bila berseorangan, aku dapat refleks banyak perkara. Memerhati manusia disekeliling. Berbagai bangsa, berbagai jenis, berbagai ragam. Aku juga dapat berkenalan dengan jemaah-jemaah Malaysia dan Indonesia yang ramah bertegur sapa ketika duduk di dalam saf untuk bersolat.
bersambung...
Comments