Bismillah.
Pernah tak rasa sangat bersemangat selepas berjaya mengharungi kepayahan? Mesti pernah kan? Setelah berjuang bermati-matian dan bersungguh-sungguh akhirnya kita berjaya melepasinya. Lega? Mahu terus melompat? Semangat terus menyala-nyala?
Semalam, semangat untuk menghabiskan PhD ni kembali memuncak bila akhirnya mendapat jawapan yang ditunggu-tunggu selama beberapa bulan lamanya. Rasa berbaloi duduk berlama-lamaan di ofis, tak pulang ke rumah dan tidur di katil sendiri yang sangat empuk. "You make my day!" kata supervisor menambahkan lagi kegirangan hati bila mendapat tahu progress terbaru aku.
Sebenarnya, bukan kesusahan PhD itu yang ingin dikongsi, tetapi kesusahan dalam perjuangan memelihara keimanan dalam diri. Dalam dunia yang dosa di hujung jari, ( klik sahaja boleh buat berganda-ganda dosa -klik butang telefon,klik remote tv,klik komputer dan sebagainya) keimanan kita sentiasa sahaja tergugat. Begitu mudah membuat dosa, tetapi ironinya kita selalu memberi kepayahan kepada diri untuk berbuat kebaikan.
Berjuang, bersungguh-sungguh berjuang, struggling atau bermujahadah itulah yang akan memelihara iman. Bila kata berjuang sudah tentu sesuatu yang tiada kemanisan di dalamnya. Penuh kepahitan. Penuh susah payah. Tetapi motivasi untuk terus berjuang adalah sesuatu yang dijanjikan oleh Allah dipengakhirannya. Dan kita semua sedia maklum, setiap kesusahan itu sunatullahnya pasti akan berakhir dengan kemudahan :
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(Al Insyirah : 5-6)Berjuang untuk melawan nafsu, keinginan yang sangat menggoda hati amat payah! .Ditambah dengan bisikan-bisikan halus si syaitan yang megindahkan lagi dunia ini kepada kita.
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga) (Al Imran:14)
Kadang-kadang nak nangis rasanya. Kenapa orang lain boleh buat? kenapa kita tak boleh buat? Kadang-kadang kita jadi stress tak tentu pasal pulak. Kita pun nak hidup macam orang lain yang gembira-gembira tu. Yang boleh pergi tengok wayang selalu tu. Yang boleh sibuk bercinta-cinta dan bergayut di telefon berjam-jam. Yang boleh pakai baju up to date tu. Yang itu dan yang ini. You name it! semua itu dirasakan sangat indah!
Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir.”
Ya sayang... dunia itu penjara untuk kita. Kita memenjarakan keinginan kita terhadap kecintaan dunia. Kerana satu tujuan iaitu motivasi yang Allah beri kepada kita untuk terus berjuang di bumi ini. Syurga. Ya, syurga yang indah di mana tempat bertemunya kita dengan Kekasih hati kita. Kerana syurga itu manis maka kita merasakan dunia ini penjara bagi kita. Dunia ini menjadikan kita sesak dada. Tapi kerana syurga yang ingin kita capai, kita sanggup mengharungi kesesakan dada itu.
Owh bila terfikir soalan ni (ni soalan rekaan yang mungkin boleh ditimbulkan oleh adik-adik kesayanganku kat luar sana) teringat satu hadith yang sangat-sangat panjang yang ku baca dalam buku Akidah Islam karangan sayid sabiq. Hadis ini riwayat Ibnu Hibban dan ia berkisar tentang pertanyaan Abu Zar r.a kepada Rasulullah berkenaan kandungan suhuf yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim A.s. antara jawapan Rasulullah :
....Orang yang berakal semestinyanya bermusafir hanya untuk tiga tujuan : pertama adalah untuk mencari bekalan hari akhirat, kedua untuk bekalan kehidupan duniawinya dan yang ketiga untuk mencari keseronokan yang tidak diharamkan oleh Allah...
Hadis ni panjang, ini sebahagian sahaja. Mencari keronokan itu tidak salah. Tapi keseronokan yang tidak diharamkan Allah.Lelaki cintakan perempuan tidak salah, tapi biarlah mencintai seseorang yng halal baginya dan banyak lagi contoh lain. Nak tahu halal haram, nak bezakan yang hak dan batil ini perlukan kepada ilmu. Jadi, sebab itu yang mula-mula Allah turunkan adalah Iqra! Iqra bismirabika..BAca..baca dengan nama tuhanmu. Carilah ilmu, carilah dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. InsyaAllah kita akan diberi petunjuk.
Teruslah bermujahadah. Teruskan berjuang. Biar orang di luar sana berseronok, tapi kita perlu sedarkan mereka dengan keseronokan sebenar di syurga nanti. Biar orang di luar sana berlumba-lumba mengejar kekayaan/nama dan kita berlumba-lumba mengejar kebaikan dan berlumba-lumba juga menyedarkan mereka tentang manisnya syurga yang kita kejar ini.
Biar pahit berjuang, kerana syurga itu manis...
Yang mengejar kemanisan syurga,
mimiamilia
@Awangan
p/s: To my dear mama...Happy birthday. You are the best mom! Love u so much!
Comments
jazakillah for the reminder ukhti.
sangat lah benar..
moga allah mudahkan kte istiqamah dalam iman dan istiqamah kan kita ketika melalui titian sirat kelak utk ke syurga dengan redhaNya!
barakallahufik.
loves,
aisyah ismail
Jalan yang kita tempuhi menuntut pengorbanan besar. Semoga kita terus tsabat.Doa akak sentiasa ada untuk mujahidah2 di jalan dakwah ini