ikhtibar dari kematian

Bismillah,

Pernah tak rasa penat? Penat dengan dunia. Sebab penat sangat rasa macam nak mati cepat-cepat dan masuk syurga dan jumpa Allah. Tapi, macam confirm je dapat masuk syurga kan? Macam confirm jer amalan dah cukup. Tapi itu lah, dunia ni dirasakan penjara.
Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.” (Hadis Riwayat Muslim)
Beberapa hari lalu, seorang adik menelefonku dan mengadu ada sesuatu berlainan yang dia rasa secara tiba-tiba. Dia merasakan maut itu semakin hampir. Ditanyakan kepadaku apakah tanda-tanda apabila kematian itu datang menjemput? Setahu aku, tiada hadis yang menjelaskan perkara ini. Cumanya, yang ku tahu tanda-tanda ketika menghadapi maut (berpeluh di dahi dan sebagainya). Yang tanda-tanda 100 hari, 45 hari dan sebagainya yang banyak dalam internet tu, Allahu a'alam kesahihannya. Tapi mati itu rahsia Allah. Seperti juga hari kiamat.
"kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi"            (Surah Taha : 7)
Kalau kita tengok ayat ni (Sila rajinkan diri buka Al Quran) ada dua perkataan berbeza. Sirr dan Akhfa. Jika sirr itu maksudnya rahsia yang mungkin dikongsi dengan orang lain.Tetapi akhfa adalah perkara yang tersembunyi yang hanya pemiliknya sahaja yang tahu. Jadinya, hanya Allah yang tahu bilakah kematian kita. Itu semua urusan Allah. Yang menjadi tanggungjawab kita adalah bagaimana kita menyediakan diri ke arah kematian itu. 

Kita selalu berhadapan dengan kematian. Tidak kira kematian ahli  keluarga, sahabat mahupun sesiapa sahaja orang disekeliling kita. Aku pertama kali melihat mayat di hadapan mata adalah ketika berusia 12 tahun. Ketika itu, sahabat di sekolah rendah meninggal dunia akibat kanser tulang. Kematian kedua adalah ketika nenek disayangi dijemput Ilahi. Melihat sendiri proses dimandikan dan kafan mayat itu agak memberikan kesedaran dalam diri. Nanti, suatu hari kita pula berada di atas kain kafan itu. 

Alangkah ruginya, jika kita yang melihat kematian di hadapan mata, sedikit pun tidak mengambil iktibar. Sedikit pun hati kita tak tersentuh. Kematian itu mengingatkan. Ingat mati itu dapat mendorong kita untuk membaiki diri dan mempersiapkan diri untuk bertemu Allah. Kita tak patut takut mati. Tapi kita patut takut jika amalan yang ada tidak seberapa untuk kita persembahkan.

Kenapa kematian itu tidak meninggalkan kesan? Eh...ada..tinggalkan kesan sedih. Tapi sedih je la. Tak lama selepas itu kembali bermaksiat. Kembali ingkar dengan suruhan Allah. Bila mana hati kita langsung tidak sensitif dengan kematian di hadapan mata, maka kita kena check semula hati kita. Hati kita itu mungkin penuh dengan dunia. 

Ah...takper..banyak lagi masa untuk berubah. Aku muda lagi! Nanti bila dah pencen baru la berubah, pergi haji, pergi kelas agama.

Aduh ,ruginya jika menunggu hari tua. Sudahlah tidak tahu bila usia akan tamat. Lagi mahu bertangguh-tangguh. Cuba tanya pada diri, sudah berapa tidak bertadarus Al Quran? sudah berapa lama tidak merenungi peringatan dariNya? Sudah berapa lama tak pergi ke masjid? Sudah berapa lama hati itu mati?

Takde inisiatif ke nak hidupkan?

Dunia ini terlalu nikmat bukan? hingga sukar untuk membuangkannya dari hati....

Dunia..dunia.

Wallahua'lam.

Mimiamila
Menulis untuk mengingatkan diri sendiri.

p/s: Buat sesuatu pilihan kerana Allah sukkanNya, bukan kerana nafsu kita yang menyukainya.


Comments

ellyWong said…
thank you mengingatkan amy jugak.