Karakter dan reputasi

Bismillah,

Alhamdulillah, minggu baru penuh barakah. Di mulakan dengan hari Arafah, sebaik-baik hari. Hari  yang mana berduyun-duyun manusia berkumpul di bumi arafah (InsyaAllah suatu hari nanti aku juga kan berada di sana), yang tidak berada di sana, bersama-sama mengejar ganjaran pahala dengan berpuasa
Daripada Abi Qatadah r.a. Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa sunat pada Hari Arafah, baginda menjawab maksudnya: "menghapuskan dosa tahun yang lepas dan tahun yang akan datang." Riwayat Muslim.
Alhamdulillah, minggu baru dimulakan dengan lonjakan iman. Momentum yang terhasil daripada duduk-duduk beriman sejenak selama 2 hari di Nottingham. Banyak mutiara yang dikutip. Walaupun badan lesu kepenatan bermusafir, semangat terus di bakar bila bersama sisters yang lain. Memandang wajah mereka sahaja, bisa meningkatkan iman apalagi bila hati disentuh dengan percakapan dan perlakuan. SubhanaAllah, itu adalah nikmat ukhuwah atas aqidah yang yang sama.

Ada sesuatu yang benar-benar menyentuh hati. Peringatan dari seorang murabbi. Yang kita di atas jalan dakwah dan tarbiyah ini bukanlah membina satu reputasi, tetapi membina karakter diri. Kita bukan baik hanya di dalam usrah, bukan berketrampilan hanya di hadapan masyarakat, bukan petah berbicara berdalilkan ayat-ayat Allah hanya ketika membawa usrah, bukan hanya membaca quran ketika berdaurah, bukan berqiyamulail hanya apabila teman sefikrah ada bersama. Bukan, kita bukan mahu dipandang tinggi dan mahu reputasi kita tetap terjaga di mata manusia.

Tapi kita, yang bila mana tasbih kafarah di dalam usrah dibacakan, kita mahu bila pulang ke rumah kita mempunyai watak yang sama seperti kita dihadapan anak-anak usrah kita. Bukan bila pulang, kita kembali menjadi diri sendiri yang suka membuang masa, yang sebenarnya malas mengurus diri, rumah bersepah-sepah, makan tidak terjaga, facebook sepanjang hari, belajar entah ke mana, gelak sebatu pun boleh dengar, turut sama bergosip, layan movie terbaru, lupa mathurat, lupa tadabbur quran. Bukan..kita sepatutnya bukan itu. 

Tarbiyah yang kita lalui ini, sepatutnya membina karakter diri kita. Karakter yang walau di mana kita berada, itulah kita. Yang memang sering bertadabbur, menjaga tutur kata, sentiasa berusaha meningkatkan diri, yang jika bersendirian masih ingat Allah sentiasa ada memerhati, yang hidup tersusun, yang akhlak adalah akhlak yang tip top dan banyak lagi.

Kita bukan mahu dikagumi dengan hebatnya hafalan quran, hebatnya berbicara, hebatnya menuturkan hadis, hebatnya mengarang kata-kata di dalam blog, mahupun labuhnya tudung kita. Tanggalkan keinginan pada menjaga reputasi itu. Kerana itu bukan kita...

Kerana, jalan ini kita pilih dengan ikhlas. 
dan ada apa dengan pandangan manusia? 
Pandangan Allah itulah yang kita mahukan...

Salam hari arafah,
dari insan yang banyak kena improve diri.. (doakan!)

Comments