Bilakah masanya?

Bismillah,

Alhamdulillah, baru selesai menghadiri majlis tahlil dan usrah. Sebenarnya, banyak yang hendak dikongsi seusai doa tahlil dibacakan.Tetapi, tekak ni menjadi halangan. Kurang sehat dua tiga hari ni. Musim salju sudah tiba, dijangkakan akan salji dua tiga hari lagi apabila angin dari Scandinavia bertiup (atau mungkin esok? terasa angin dingin menerobos masuk melalui celah2 tingkap sekarang..sejuk!)

Ketika duduk membaca surah yasin, tiba-tiba aku merasakan kematian itu sangat dekat dengan diri. Aku membayangkan jika yasin itu yang dibacakan pada dririku. Dan semalam, ingatan terhadap sempitnya kubur tiba-tiba menjelma sebelum mata terlelap di atas tilamku yang empuk itu. Sesungguhnya, Allah telah datangkan peringatan. Tak kira bagaimana caranya, tapi yang pasti tandanya, Allah sayang padaku!

Sesungguhnya ajal itu adalah rahsia Allah yang tidak mungkin kita ketahui bila. Cumanya, apa yang perlu kita lakukan adalah bersedia. Adakah kalian sudah bersedia? Atau masih enak dibuai dengan nikmat dunia?

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka." (Al-Hadid : 16)
Sesungguhnya, Fudhail bin 'Iyad, telah berubah kehidupannya dari seorang yang sering terpesona dengan wanita kepada seorang ahli ibadah apabila terdengar ayat ini dibacakan. Menurut tafsir Qurtubi,  Fudhail bin 'Iyad ketika itu sedang memanjat tembok/pagar untuk mendatangi teman wanitanya.Sejurus terdengar ayat ini, terasa seperti menusuk ke dalam hatinya lantas terus melompat turun dan membatalkan niatnya. Seharian dia merenungi peringatan Allah. Jiwanya berbisik, " Bilakah engkau mahu insaf? dan bertaubatlah segera sebelum ajal menjemputmu!" 

Maka di sini, aku juga mahu bertanyakan kepada setiap jiwa yang membaca dan jiwaku sendiri. Bilakah masanya diri mahu insaf? khusyuk mengingati Allah dalam setiap amalan yang dilakukan? patuh kepada semua perintahnya? Apa yang kau dan aku tunggukan lagi? Fudhail bin 'Iyad telah bertaubat selepas itu dan menjadi ulama terkenal. Dan bila pula giliran kita untuk bertaubat dengan taubat sebenar-benarnya?

Jangan sampai nyawa dikerongkongan, baru taubat itu terbit dari hatimu. Ayuh, mari terus berubah ke arah yang lebih baik.
"Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar."(Al hadid : 21)
Kerana...
Rahmat Allah itu luas, KurniaNya itu besar. 
Maka segeralah kembali kepada Nya..

W'salam.


**Asbabul Nuzul untuk ayat ini :

Diriwayatkan dari Ibnu Abi Syaibah bahawa ayat ini turun berkenaan dengan para sahabat Rasulullah yang saling tertawa dan bersenda gurau. Dengan ayat ini Allah mengingatkan mereka.

Comments

ellyWong said…
like!

thanks for the peringatan mimi :)
Mimiamilia said…
my pleasure amy :)