Hati sangat teruja untuk permusafiran kali ini. Bertemu pemilik-pemilik suara yang setiap Jumaat dan Ahad setia berada di hadapan komputer untuk bersama mengejar cinta Ilahi. Kali ini kami akan bersatu di Darmstadt, Germany. Walau semuanya tidak dapat berkumpul bersama, aku sempat meluangkan masa sehari bersama mereka yang tidak dapat hadir itu di Bingen sebelum ke Darmstad. Sambutan hari lahir bersama mutarabbi, itu adalah saat yang paling indah.Ini pertemuan kedua aku bersama mereka sejak aku mengambil alih usrah mereka Disember tahun lalu.Aku juga teruja untuk berjumpa buat pertamakalinya dua orang anak usrahku yang selama ini hanya kudengar suara mereka. sudah hampir 8 bulan berbicara, kini adalah detik pertemuannya. Hati mana yang tidak gembira?
Banyak yang aku pelajari sepanjang dua hari berlangsungnya program di sini. Melihat wajah-wajah mereka yang dahagakan tarbiyah, melihat mereka seronok bertemu dengan orang yang sefikrah, melihat mereka mengalirkan airmata ketika berkongsi pengalaman, mendengar harapan-harapan mereka dan semangat mereka yang berkobar-kobar, aku dapat merasakan betapa indahnya Islam itu.
"Saya balik Malaysia saya futur. Cabaran di Malaysia sangat kuat. Bila saya dah ikut tarbiyah ni, saya sangat menjaga hubungan saya dengan sepupu hingga menyebabkan mereka treat saya pun lain macam saja. Bila saya tanya kenapa, mereka kata saya dah lain. Kawan-kawan pun bila di Malaysia ada yang ajak pergi tengok wayang. Bila saya dah faham dengan Islam ni, saya bertekad taknak pergi tengok wayang. Tapi tula, saya tak kuat, akhirnya saya mengalah dengan pujukan kawan. Bila wayang habis, saya keluar panggung wayang tu dengan hati tak tenang.Saya istighfar dan terus istighfar. Begitulah sukarnya saya ketika pulang ke Malaysia"
Seorang adik di dalam program berkongsi cerita. Cerita perihal keluarganya pula telah menyebabkan seorang akh mengalirkan airmata. Dari sesi pesan memesan kepada sesi curahan hati. Sungguh, aku nampak Islam itu mengubah manusia. Seperti mana berubahnya Umar al Khatab, Mus'ab, dan banyak lagi. Aku lihat permata-permata Islam di hadapan mataku ini yang perlu digilap agar bersinar dakwah di bumi Germany.Itu harapanku.
Ada baki dua hari untuk aku bersama anak-anak usrahku. Aku punya harapan yang besar pada mereka. Kadang-kadang aku sendiri takut jika aku tidak berjaya mengetuk hati mereka. Adik naqibahku selalu mengingatkan : Usrah seharusnya menggerakkan bukan sekadar statik tiada perubahan.Yang menggerakkan mereka adalah hati yang telah diketuk, yang diisi dengan aqidah Islam yang sebenar, yang dapat melihat keindahan Islam itu lantas membawa kepada perubahan dalam diri.
Doakan aku dapat terus menyentuh hati-hati ini sebelum aku pulang ke Glasgow lusa nanti.
"Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk membela syariatMu, maka kuatkanlah ikatan pertaliannya. Kekalkanlah kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah ia dgn cahayaMu yg tidak kunjung malap..."
Comments
atas jalan ini sudah pasti dugaan bnyk yg datang. disisihkan, dipandang pelik dan banyak lagi. Tidak kira bagaimana cara pun mereka treat kita, balasan treatment yang kita berikan mestilah baik. Rasulullah walaupun sentiasa diganggu perjalanannya ke masjid oleh wanita yahudi, tapi masih mengunjunginya ketika wanita itu sakit.
untuk menegur perlu berhikmah. perlu ada tautan hati..barulah teguran diterima dgn hati terbuka.Untuk menolak, biar kita beri alasan yg kukuh.
memang iman kita turn naik. tapi cubalah bermujahadah. jika tertewas, jgn putus asa untuk bangkit dan kembali bermujahadah...