Bismillah..
Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.(19)
Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak. (20) - (Surah Ash Shura)
Alhamdulillah, sudah berlalu hari pertama Ramadhan. Hari pertama yang penuh semangat. Semoga terus istiqamah amalannya hingga bila-bila pun.
Allah itu Maha lembut dan Maha adil. Dia mengurniakan rezeki dan nikmat tanpa mengira agama mahupun keturunan. Sesiapa yang berusaha Allah akan membalas setimpa dengan usahanya. Cuma yang membezakan kita dan yang kafir, usaha mereka hanyalah untuk faedah di dunia. Namun kita, jika usaha diniatkan hanya kerana Allah, InsyaAllah taala, kita akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.
Jika kita reflek ayat ke 20 itu, kita seharusnya membuat hubungan amalan atau usaha kita di dunia dengan akhirat. Kita selalu mengatakan, dunia adalah jambatan akhirat. Tapi sejauh mana jambatan yang kita bina itu betul-betul sampai ke akhirat? Cuba kita check diri kita semula, adakah kita bekerja setiapa hari 9 pagi hingga 5 petang (atau lebih) kita ada niatkan untuk kebaikan akhirat. Ataupun, adakah selama kita belajar buat phd atau degree dan sebagainya kita jadikannya sebagai ibadah?
Syarat utama agar usaha kita itu dapat kita buat 'connection' untuk akhirat ialah usaha itu tidak melanggar syariat Allah. Kerana itu niat tak menghalalkan cara. Walaupun niatnya sedekah atau untuk beramal, yang dilarang tetap dilarang. Tetap tidak akan mendapat apa-apa kebaikan malahan boleh mendapat dosa.
Di bulan Ramadhan ini, mari kita semak semula kehidupan diri kita. Adalah satu kerugian yang besar jika setiap apa yang kita lakukan di dunia, kita tidak memikirkan sahamnya di akhirat kelak. Hidup ini ibadah. Dijadikan kita juga untuk beribadah kepada Allah.Ibadah untuk Allah itulah saham kita di akhirat nanti. Itulah usaha yang menghubungkan dunia ini dengan akhirat kelak. Dan Allah melihat usaha yang kita lakukan, bukan hasil usaha yang dilakukan.
Jadikan setiap perlakuan kita hanya kerana Allah. Ia bukan sahaja mendorong kita untuk terus berbuat amalan yang baik, malah mencegah kita melakukan kemungkaran. Mana mungkin kita mencuri dan kita niatkan kerana Allah. Setiap kali kita berbuat kemungkaran, sesungguhnya ketika itu tiada iman dalam hati.
"Tidak mencuri sang pencuri pada ketika dia mencuri dia beriman"
Semoga Allah terus mengurniakan nikmatnnya kepada kita. Kita sebagai seorang hamba yang bersyukur haruslah menunjukkan rasa kesyukuran dengan mentaati Allah dan Rasul dan meninggalkan larangannya.
Selamat menjalankan ibadah di bulan Ramadhan! Semoga ibadah kalian memberi kebaikan di akhirat.
Comments