Harapan

Bismillah,

Alhamdulillah. Aku baru sahaja selesai menyudahkan Jaulah (jalan-jalan) terakhir dan Daurah (kursus) Back for good untuk anak-anak usrahku di Glasgow ini. Melihat wajah-wajah Widadmunisah kadang-kadang timbul hiba di hati bila membayangkan perpisahan yang akan berlaku. Biarpun hanya sekejap mengambil alih usrah ini, tapi tautan hati itu sungguh terkesan sekali. Mungkin ada yang kurang berpuas hati denganku. Mungkin layanan ku tak sama dengan semua ahli Widad Munisah yang kadang-kadang secara tak sengaja aku melakukan. Tapi hakikatnya, kasih sayang ini umpama sayangnya seorang ibu kepada anak-anaknya. Tidak berbelah bahagi. Setiap seorang aku raikan dengan kelebihan dan kelemahan. masing-masing Setiap seorangnya adalah individu yang berbeza. Tiada favouritism!

Harapan ku pada mereka hanya satu iaitu penerusan tarbiyah di Malaysia. Semua cukup tahu keadaan di Malaysia. Keadaan yang lebih mencabar. Lebih banyak dugaan. Lebih mudah menerima tarbiyah di UK berbanding di Malaysia. Di Malaysia, persekitaran yang 'kurang' menyokong adik-adik widad munisah akan menyebabkan tarbiyah mereka boleh terhenti setakat di UK ini. Itu yang aku dan adik muharikah sangat takuti. Pesanku pada mereka hanya satu (ke banyak? huuu)... Keinginan untuk terus memperbaiki diri perlu ada! Keinginan dan kekuatan mencari tarbiyah itu jangan dipadamkan! Biarlah kita di letak walau di mana, tapi tarbiyah kita tetap kita jaga. Boleh kah mereka lakukan. Aku yakin mereka boleh! InsyaAllah...

" Akak, saya rasa nanti saya mesti susah nak ikut usrah balik Malaysia "

"Akak, macam mana nak sustain diri dalam persekitaran keluarga yang tidak mempunyai biah yang baik?"

"Akak, macam mana kita nak tolak ajakan kawan kita. Maklumlah kita dulu pun bukan la baik sangat. Kalau kita tolak pasti kawan kata .."ala, dulu pun kau tak baik sangat" then nanti mesti kita pun slow-slow terikut dengan diorang.

"Akak, macam mana nak ajak kawan-kawan kita atau nak sedarkan kawan-kawan kita tentang Islam ni?"

Soalan-soalan yang dilontarkan ketika cuba mencungkil apa yang ada di benak hati mereka di sesi terakhir Daurah hari ini. Agak sukar untuk aku melakukannya. Masing-masing menyimpan. Tidak mahu meluahkan. Tapi akhirnya, sedikit demi sedikit terkeluar juga 'concern' mereka bila pulang ke Malaysia nanti. Walaupun masih banyak yang mereka simpan, tapi yang sedikit itu juga memerlukan perbincangan untuk memikirkan cara yang paling baik menghadapinya.

Aku mahu mereka bukan sahaja cuba untuk membaiki diri, malah turut sama menyeru orang lain untuk berbuat kebaikan. Kita berusrah bukan untuk baik sendiri-sendiri. Kerana akhirnya, hidup kita bukan sekadar berseorang. Kita ada keluarga, ada masyarakat. Suatu hari nanti insyaAllah kita  juga akan punya anak. Jika kita hanya memikir tentang diri sendiri, bagaimana dengan masyarakat kita yang sedang sakit ini? Anak kita mahu tidak mahu akan turut berada dalam masyarakat ini nanti. Kita tidak mahu anak kita turut 'sakit' seperti sakitnya masyarakat kita. Jadi, perlukah kita baik sendiri-sendiri sahaja? tak pedulikan orang lain? Zaman ini bukan lagi zaman jaga tepi kain sendiri, kita memang perlu jaga tepi kain orang lain! itu tanggungjawab kita yang juga akan menyelamatkan kita...

Kepada adik-adik Widad Munisah, mahupun adik-adik dan sahabat Wihdah (usrah german) yang akan balik ke Malaysia tak lama lagi, aku harap kalian tidak akan terputus hubungan dengan kami di sini. Aku harap, masing-masing diberikan kekuatan untuk terus tetap di jalan ini. Aku harap kalian tidak akan berhenti berusaha untuk memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada Allah. Kerana tujuan kita semua adalah satu...tujuan kita adalah mencari keredhaan Ilahi.

 p/s: Kami berjaulah di Rothesay, Isle of Bute. Berkayuh basikal sekeliling pulau sejauh 14 batu (UK guna miles yerr..) kesannya, ramai yang pulang berjalan balik seperti orang tua..sakit kaki! Apapun, we have fun, we have ukhuwah and the most important...kami dapat tadabbur alam yang Subhananallah!!! sangat cantik!!!
Here some pics..


Comments