Pesawat Saudi Arabian Airline selamat mendarat di Lapangan Terbang Jeddah dalam pukul 12 malam. Tidak tahu perasaan apa yang ada di dalam hati. Teruja? takut? entah. Tapi segunung kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi. Dengan kuasaNya, aku berada di sini. Menerima jemputan sebagai tetamu di rumahNya.
Urusan di imigresen agak kelam kabut. Mahram ku yang duduk berselang beberapa kerusi di belakang ku ketika di dalam kapal terbang tidak muncul-muncul setelah setengah jam menunggu. Ahli-ahli rombongan yang lain sudah bergerak keluar dari imigresen. Inilah ujian pertama. Ujian kesabaran. Tidak lama selepas tu, aku nampak dua orang lelaki berjalan lambat-lambat tersengih-sengih dari jauh. Mahramku! Dalam hati timbul juga rasa geram. Masih berlambat-lambat bagai datang nak makan angin.
****************
LambaikAllah humma labaik..mulut tidak berhenti bertalbiah. Jantung terus berdegup kencang ketika kaki melangkah masuk ke dalam masjidil haram melalui Babus salam. Untuk pertama kalinya, mata ini akan disajikan dengan nikmat yang tidak terhingga. Nikmat melihat rumah Allah buat pertama kali setelah seumur hidup berkiblatkannya. Timbul rasa sayu dalam hati yang penuh kesyukuran. Air mata berlinangan perlahan.
Allahuakbar!Allahuakbar! Allahuakbar!
Pemandangan di mata ini sungguh indah. Rombonganku meneruskan langkah mendekati Kaabah untuk memulakan tawaf umrah. Sekali lagi hati tersentuh. Buat pertama kalinya bertawaf di rumahNya. Aku melihat ke langit, burung-burung juga berterbangan membuat pusingan di atas kaabah ini. Seolah-olah mereka juga bertawaf.
"Tidak perlu membaca bukunya ya. Ikut saja apa yang saya cakap.Nanti, sudah habis bertawaf bolehlah berdoa dan solat sunat tawaf"
Ustaz dari Indonesia yang bertanggungjawab membawa kami memberi penerangan. Buku panduan Umrah ku simpan semula. Sambil bertawaf, sambil mengikut setiap butir yang diucapkan oleh ustaz. Pertama kalinya aku melambai ke Hajarul aswad.
Wahai Hajarul Aswad, aku datang! Kau akan menjadi saksi kedatangan ku ini.
Terus melangkah melalu maqam Ibrahim, Hijri Ismail, Rukun Yamani...lengkap satu pusingan. Terus masuk ke pusingan seterusnya hingga lengkap 7 pusingan. Kepenatan penerbangan 5 jam dari London itu tidak langsung dirasa. Diganti dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan.
Usai tawaf, aku bersolat menghadap Multazam. Doa ku panjatkan agar digugurkan segala dosa yang ada dalam diri. Bertaubat sesungguh-sungguhnya. Diberi kesihatan yang baik agar dapat menjalankan umrah dengan sempurna. Dikuncikan perasaan ini terhadap kecintaan dunia buat sementara ketika menjalankan umrah dan dengan penuh sendu, aku berdoa agar ayah dan mama serta kakak dan adik-adikku juga dapat menjejakkan kaki di sini untuk merasai apa yang ku rasa sekarang. Perasaan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu digambarkan.
Hingga hari ini, gambaran pertama kali melihat kaabah itu masih kukuh dalam ingatan.
*************
Allahuakbar!
7 pusingan bersaie betul-betul menguji kekuatan fizikal dan mental. Di kala itu, aku terbayang-bayang Siti Hajar berlari-lari mencari air. Di waktu ini, tempat bersaie itu sudah selesa.Sudah berlantai Marmar. Sudah berkipas. Tapi ketika Siti Hajar berlari itu, tempat ini adalah padang pasir yang tandus. Di bawah terik matahari dia berulang alik dari Safa ke Marwa. Terasa begitu kerdilnya diri. Keletihan aku bersaie tidak sama dengan keletihan Siti Hajar. Keletihan aku cuma mungkin secubit dari apa yang dia rasakan.
Rasa keinsafan menerobos setiap ruang perasaan. Setiap kali diri terasa letih, ku teguk air zam zam yangt tidak pernah putus-putus bekalannya itu. Seolah ada 'magic', air zam zam ini memberi kekuatan untuk meneruskan saie ku. Hakikatnya, kekuatan ini adalah kurniaan Allah. Dan aku terus berdoa agar terus di beri kekuatan menghabiskan umrah ini.
bersambung....
Comments
akak tulis lagi sambungannya cepat2...tak sbr saya nak baca lagi..
sorry pasal kejadian "lambat" di lapangan terbang jeddah. keluar lambat sebab tolong cari beg kak sri yg "hilang", tapi sebenarnya dah ada org tlg ambilkan..
regards,
"mahrammu"
p/s: best la blog ni. bermanfaat. cheers
Ooo ye kerr..baru tau punca kelambatan korang. Takper..tu ujian kesabaran akak :)
lambat pertama tu masa kat imigresen..passport control...masa terus masuk daripada bas tu...imigresen dak kecoh2 suruh terus masuk ke passport control tapi yang menumpang mahram terpaksa menunggu kat tepi
saya pun dh x ingat sebab apa lambat. rasanya kami lambat sebab naik bas kedua dari kapal terbang ke terminal kut..
maaf, kerana menyusahkan