Di hening pagi..


Dia tidak pernah terlambat. Pukul 1 pagi akan terus kedengaran suaranya memanggil makmum meluruskan saf.

Pagi yang hening. Hari ini lebih bersemangat. Mungkin sudah mendapat dos tidur yang cukup siangnya. Imam yang selalu mengambil giliran kedua mengimami tahajjud kami bertukar giliran kepada giliran yang awal. Biar aku namakannya imam Muhammad (tak ingat nama sebenar) Aku suka bacaannya. Jelas dan lambat-lambat. Kadang-kadang apabila tiba di ayat-ayat yang tertentu, terdapat getaran dalam bacaannya. Aku boleh mengagak yang dia menahan tangis. Indah bukan?Indah kerana dapat memahami ayat Allah dengan mata hati. Membuatkan aku rasa lagi bersemangatt untuk mempelajari bahasa syurga ini bersungguh-sungguh. 

Pagi ini, aku rasa Imam Muhammad sangat-sangat menghayati bacaannya. Bacaan di mulakan dengan dari surah Al A'raf ayat 171. Rukuk dan sujud kami lebih lama dari malam-malam sebelumnya. Alhamdulillah, malam ini Allah beri kekuatan lebih untukku tidak ngantuk. Aku dapat merasai ketulusan hati imam Muhammad membaca ayat-ayat Allah. Biarpun tidak sesedap alunan Quran Syeikh Misyari mahupun Imam jibril, tapi keikhlasan bacaannya memang dapat meruntun jiwa. Kadang-kadang bila aku dapat menangkap maksud ayat yang dibaca, air mata ku juga turut mengalir.

Selesai tahajuud, aku menanti-nanti witir. Kerana aku tahu, waktu ini imam bukan setakat membaca doa qunut, malahan doa yang berjela-jela. Malam ini, Imam Muhammad sekali lagi mengambil giliran untuk mengimami solat witir. Doa dibacakan. Sekali lagi, aku yang amatur bahasa arab ini masih dapat menangkap isi bacaan doa. Setiap kali sampai kebahagian mengharapkan Allah menerima puasaku, solatku, dan memakbulkan doaku, aku rasa tersangat sayu. Aku rasa sangat takut dan sangat mengharap amalan yang ku lakukan sepanjang ini di terima. Harap sangat Allah memakbulkan doaku. Harap sangat Allah mengampun dosa-dosaku.

Di hujung doa, Imam Muhammad tidak dapat menahan tangisnya lagi. Hampir tidak terkeluar suaranya menyebut Allahuakbar untuk sujud. Dan aku pun tersentuh. Dan aku ketika itu merasakan sekotak tisupun tak mampu nak keringkan airmata ni. Terasa hati disentuh dgn sentuhanNya. Terasa indahnya mendampingi diriNya.Ya Allah, aku rasa seperti mahu Ramadhan selama-lamanya.

Entah mampu lagi kah ku mengalami keindahan bertahajud begini. Di negara yang bukan majoriti Islam, tapi Islam itu lebih bersinar. Jika di Malaysia, di kala ini, di fasa terakhir Ramadhan ini, ramai yang sibuk mencari baju raya, buat kuih raya, dan sebagainya. Bila memikirkan keadaan di Malaysia, aku sendiri jadi takut. Takut aku juga hanyut dengan arus yang ada. Semoga diberi kekuatan yang iman untuk menghadapinya.

Aku masih tiada mood untuk hari raya. Simpan dahulu ucapan hari raya kalian. Aku sangat sedih untuk meninggalkan Ramadhan....

Comments